Oleh Kazman Kamal
Kuala Lumpur -- Beberapa pemimpin Pemuda UMNO hari ini terus menolak cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmed Rithaudeen untuk memansuhkan pergerakan sayap-sayap sebagai jalan penyelesaian terhadap segala masalah khususnya politik wang yang berlaku dalam UMNO pada hari ini.
Rata-rata mereka berpendapat terdapat banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan selain membubarkan sayap UMNO.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Kamarulzaman Kamdias berkata pembubaran sayap parti bukan jalan penyelesaian kepada masalah politik wang kerana ia boleh diibaratkan lain yang sakit lain yang dirawat.
Soalnya jika yang mendatangkan masalah itu adalah penghuni sebuah rumah, kenapa pula struktur binaan rumah yang mesti diubahsuai?
Tegas beliau lagi sepatutnya dalam mengekang amalan politik wang, tumpuan harus diberikan kepada perlakuan rasuah dan bukan kepada struktur binaan organisasi kerana ia tidak ada kena mengena langsung.
"UMNO diakui sedang berada pada tahap yang lemah, tetapi berbanding sebahagian besar hayatnya, UMNO kini berada pada kedudukan yang kuat. Itulah struktur binaan organisasi yang telah diguna pakai sama ada UMNO berada dalam keadaan kuat atau pun lemah.
"Di sini jelas membayangkan kepada kita bahawa cadangan untuk memansuhkan sayap-sayap parti bukanlah jalan penyelesaian terhadap gejala politik wang", katanya kepada laman webPemuda hari ini.
Lembaga disiplin parti ujarnya tidak harus berdolak dalih dalam mencari penyelesaian terhadap masalah politik wang dengan cara melontarkan cadangan-cadangan pelik yang tidak masuk akal.
Beliau berkata ia hanya akan menambah kekeliruan dan rasa kurang yakin ahli terhadap kemampuan Lembaga Disiplin dalam menghadapi kemelut ini.
"Jika kedua-duanya, parti dan Lembaga Disiplin sudah tidak diyakini kemampuannya oleh ahli dan akar umbi, kepada siapa lagi kepercayaan dan keyakinan harus diberikan?
"Oleh itu Lembaga Disiplin harus benar-benar berani menyelesaikan masalah politik wang berdasarkan realiti yang ada jika benar-benar ikhlas untuk membantu UMNO bangkit semula, walau pun tindakan itu akan dianggap radikal", ujarnya.
Janganlah kata beliau kerana perut sakit lantas terus mengambil jalan pintas dengan cadangan supaya diharamkan makan dan minum. Ia tidak masuk akal.
"Berilah tumpuan supaya dicari punca penyakit dan rawatlah dengan cara yang sepatutnya.
"Kita berharap agar Lembaga Disiplin terhindar dari perlakuan sindrom penafian dengan cara mengalih isu dan masalah pokok yang harus mereka tangani", katanya.
Sementara itu seorang lagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Md Jais Sarday pula berkata UMNO telah berdepan dengan pelbagai masalah sebelum ini dan setiap masalah mempunyai pendekatan yang tertentu termasuk politik wang.
Tegasnya lagi dalam isu politik wang ini ia bergantung kepada ahli UMNO itu sendiri.
"Sekiranya kita sebagai ahli parti mahu melihat UMNO stabil, UMNO diterima orang Melayu dan masyarakat khususnya, kita sendiri harus berubah tanpa mengorbankan mana-mana pihak.
"Ahli UMNO sendiri perlu sedar bahawa perjuangan UMNO satu ketika dulu diterima oleh rakyat disebabkan perjuangan kita menolak British, menolak penubuhan Malayan Union seterusnya perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu", katanya.
Rakyat pada ketika itu tambah beliau lagi melihat UMNO sebagai tiang dan payung untuk mereka berteduh dan dijadikan sandaran, tetapi tidak hari ini apabila orang Melayu melihat ada segelintir orang menjadikan UMNO sebagai alat untuk kepentingan diri sendiri dan kelompok tertentu.
"Kita perlu perubahan dan kesedaran yang tinggi namun membubarkan sayap UMNO bukanlah satu pilihan yang ada pada kita", ujarnya.
Seorang lagi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Azizi Datuk Seri Wan Mohamed pula mempersoalkan mengapa dikaitkan perjuangan generasi muda dan sayap-sayap dalam parti dengan politik wang.
"Adakah Tan Sri Tengku Ahmed Rathaudeen sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin parti di dalam kajian beliau telah membuat kesimpulan penglibatan generasi muda menyebabkan berlakunya politik wang sehingga tidak boleh dibendung lagi.
"Adakah dengan menghapuskan sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Biro Putera UMNO dapat menghalang permasalahan yang di belenggu oleh UMNO di ambang pemilihan parti Mac ini", soalnya.
Justeru tegasnya kenyataan Tan Sri Tengku Ahmed Rathaudeen bukan sahaja menyentuh hati generasi muda sekarang malah telah menidakkan peranan yang di taburkan oleh pemimpin muda Melayu sebelum ini seperti Kapten Hussein Onn, Tun Abdul Razak, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Datuk Harun Idris, Datuk Senu, dan Datuk Suhaimi Kamaruddin dalam memperjuangan agama, bangsa dan Negara.
Beliau seterusnya mengingatkan pasca PRU-12, Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu telah menunjukkan peranan generasi muda dalam menentukan kerajaan yang memerintah hari ini di mana pengundi muda yang berumur di antara 21 hingga 40 tahun merupakan 48 peratus daripada jumlah pengundi dan ini tidak termasuk kaum wanita yang melebihi umur 40 tahun.
"Peranan kumpulan ini menjadi teramat penting sehingga di awal penubuhan parti UMNO, sayap-sayap parti telah ditubuhkan dan dipahatkan satu fasal penubuhannya di dalam pelembagaan parti di bawah Fasal 21", katanya.
Manakala bagi Marzuki Yahaya saranan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen tidak menepati aspirasi golongan muda.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata UMNO tidak boleh cuba lari dari masalah sendiri tanpa memikirkan masa depan parti secara keseluruhannya.
"Pemimpin vateran seperti beliau pastinya tidak lari daripada berpegang kepada asas perjuangan negara bangsa.
"Oleh itu, saya dan rakan-rakan menerima pandangan beliau itu sebagai cabaran akal untuk lebih ramai anak muda tampil mengemukakan cadangan dan mencari pendekatan baru
"Kita sebagai parti yang menjadi harapan negara sepatutnya menambah luas kaedah dan pendekatan supaya lebih ramai golongan muda mendapat peluang berjuang menerusi UMNO seperti memudahkan pendaftaran ahli menerusi alam siber, kaunter di pusat tumpuan ramai dan mungkin juga penubuhan gerakan cinta keamanan UMNO-BN", katanya.
Malah kata beliau lagi cabaran Yang Mulia Tengku telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk melihat berapa banyak pihak dan ramai daripada kalangan muda bersuara dan berbual kerana harapan dan keperihatinan mereka kepada UMNO.
~www.pemudaumno.org.my
ULASANCadangan ini nampaknya seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pada pandangan saya pembubaran sayap tidak akan menyelesaiakan masalah politik wang, tetapi akan melemahkan lagi Parti keramat ini.
Sayap-sayap parti inilah sebenarnya menjadi tunjang kepada kekuatan parti. Mereka membentuk jentera yang di geruni pada setiap pilihan raya walaupun pada akhir-akhir ini di lihat sedikit goyah.
Sayap pemuda dan puteri dilihat sebagai saluran penting untuk mendekati generasi muda. Menyedari akan adanya 7 juta pengundi baru generasi muda pada PRU 13, maka tindakan memansuhkan sayap-sayap ini sudah tentu akan merugikan parti.
Sepatutnya sayap-sayap ini diperkasakan dan bukannya dimansuhkan.