**BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....


DAP.....PILIHAN BIJAK

LEE KUAN YEW.....BAGUS

Saturday, March 14, 2009

ISMAIL SAFIAN CALON BN BUKIT GANTANG

Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Safian dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak, 7 April depan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taiping hari ini. Najib adalah pengerusi Umno Perak.

Najib juga dijangka mengumumkan calon BN bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah petang ini.

TAHNIAH DR WAN NORASHIKIN

Bernama melaporkan Ketua Puteri Umno Perak Dr Wan Norashikin Wan Nordin hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Naib Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti 24 hingga 28 Mac ini.

Beliau turut menarik diri daripada mempertahankan jawatan Exco pergerakan itu. Dr Wan Norashikin, 36, berkata keputusan berkenaan dibuat kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang awal bulan depan.

"Saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi parlimen berkenaan," katanya kepada Bernama.

Dr Wan Norashikin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah berkata beliau telah menghantar surat penarikan diri daripada bertanding kedua-dua jawatan itu kepada Umno petang Jumaat.

"Saya telah membuat pengumuman berkenaan pada mesyuarat Exco Puteri Umno sebelum menghantar surat berkenaan," katanya.

Katanya selaku Ketua Puteri Umno Negeri, tanggungjawab membantu BN memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang sudah cukup berat untuk dipikul dan beliau tidak mahu usaha itu terganggu dengan pemilihan jawatan parti.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberikan sokongan dan berharap mereka memahami pengorbanan yang telah saya buat...saya tetap akan bersama Puteri Umno dan memainkan peranan dalam kapasiti sedia ada," katanya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Dr. Wan Norashikin kerana mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi.

Friday, March 13, 2009

JOSEPH KURUP KEKAL MP

Barisan Nasional boleh menarik nafas lega hari ini bila Mahkamah Persekutuan memutuskan kerusi Parlimen kawasan Pensiangan di pedalaman Sabah kekal pada penyandangnya Tan Sri Joseph Kurup.

Mahkamah itu mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Pilihanraya pada 17 September tahun lalu bahawa kemenangan Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah dan Presiden PBRS itu tidak sah.

Berikutan keputusan ini bermakna tiada pilihanraya kecil di Pensiangan.

"TEMBOK RUMAH SAYA DI CONTENG" ~ ANGKARA SIAPA?


Hari ini dalam sejarah, tembok rumah saya telah di conteng. Persoalannya angkara siapa? Pada mulanya saya fikir mungkin perbuatan budak-budak nakal. Tapi bila diamati gambar yang dilukis ialah lambang sebuah parti politik.

Takkan budak-budak nakal minat dengan politik. Mungkin angkara `ah long' seperti yang selalu diceritakan diakhbar. Tapi tak mungkin, sebab saya tidak meminjam dengan `ah long' dan sudah tentu `ah long' tidak berminat untuk melukis lambang parti PAS.

Kalau bukan budak nakal? Bukan `ah long'? Jadi angkara siapa?

Setelah puas memikirkannya, saya membuat kesimpulan sendiri, kemungkinan ada orang yang tidak puas hati dengan blog yang saya kendalikan ini.

Faktanya gambar yang dilukis adalah lambang parti PAS. Mungkin ini kerja penyokong-penyokong fanatik PAS yang tidak puas hati dengan tulisan-tulisan saya.

Inilah nasib blogger berwajah seperti saya. Sekarang baru saya sedar kenapa blogger politik selalunya tidak berwajah.

Mungkinkah saya akan menerima ancaman yang lebih agresif? Semoga Allah melindungi saya.

Jadi saya nak tanya pendapat pembaca semua, adakah perlu saya membuat lapuran polis?

Thursday, March 12, 2009

GOBIND HANYA BERANI DI DEWAN

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, selain dari menunjukkan sikap kurang ajar, rupa-rupanya hanya berani bercakap besar di dalam dewan dengan berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parlimen.

Ini terbukti apabila beliau diminta mengulangi tuduhan liarnya bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pembunuh dalam kes pembunuhan Altantuya yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

“Saya tidak mahu ulang kerana dalam Dewan saya dilindungi oleh kekebalan Ahli Dewan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen selepas diarah keluar oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Sebelum itu, sejurus selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak menggulung bajet mini di Parlimen Khamis, Gobind mencabar Timbalan Perdana Menteri bangun menjawab kaitannya dengan Altantuya.

Ketika itu beberapa ahli parlimen Barisan Nasinal termasuk Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin ) dan Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading) bangun membantah tuduhan Gobind.

Ini menyebabkan berlaku pertikaman lidah malah pada satu ketika ahli parlimen pembangkang itu menyifatkan Najib sebagai pembunuh dalam kes wanita Monggolia itu. Keadaan ini memaksa Ronald meminta Gobind tidak meneruskan isu tersebut tetapi dibangkang ahli parlimen Puchong tersebut.

Melihat wakil rakyat itu terus berdegil, timbalan speaker itu mengarahkan Gobind keluar dewan tetapi anak kepada Karpal Sing itu, enggan malah menjawab, “ tindakan speaker itu memalukan diri sendiri,”.

Menurut Ronald, isu itu tidak patut dibangkitkan kerana sedang dibicarakan di mahkamah dan Gobind tidak patut menyentuh peribadi seorang ahli dewan (Najib) ketika berhujah.

Beliau kemudian mengarahkan bentara mengiringi Gobind keluar dewan dan hanya dibenarkan masuk ke dewan selepas persidangan hari ini ditangguhkan. Dalam keadaan marah dan tidak puashati, Gobind keluar kira-kira jam 4.10 petang.

Mengulas lanjut tindakan timbalan speaker itu di lobi parlimen, Gobind berkata, beliau tidak kisah sekiranya digantung dari menghadiri Dewan kerana kononnya tindakan beliau itu bertujuan menyuarakan kehendak rakyat.

“Saya tidak menyesal langsung. Datuk Najib mesti membuat pengumuman terbuka kerana dia akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.,” katanya. Malah beliau sekali lagi mendesak Najib supaya membuat pengumuman terbuka bahawa beliau tidak terlibat dalam kes bernenaan.

Untuk rekod, Najib sudah beberapa kali telah menafikan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya malah bersumpah tidak pernah kenal atau berjumpa dengan warga Mongolia itu.

Selain itu, beliau juga semasa menggulung perbahasan bagi pihak Kementerian Pertahanan pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu, Najib secara terbuka membuat kenyataan menafikan perkara yang sama . Berdasarkan kenyataan Najib tersebut, cabaran Gobind supaya Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman terbuka tidak berbangkit kerana Najib sebenarnya telah pun berbuat demikian beberapa kali.

Ternyata anak Karpal Singh ini adalah seorang pengecut.

~Agendadaily

MERDEKA CENTER vs ZENTRUM FUTURE STUDIES

Semalam Zentrum Future Studies Universiti Malaya yang diketuai oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah telah membuat kenyataan berdasarkan kajian mereka, Mohd Ali Rustam telah jauh meninggalkan Muhyiddin.

Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, kajian mereka mendapati Khairy Jamaluddin menjadi pilihan.

Mereka juga telah memilih Zahid, Rais dan Khaled sebagai Naib Presiden. Shahrizat dan Shahaniza pula dipilih sebagai Ketua Wanita dan Ketua Puteri.

Hari ini pula Merdeka Center tidak mahu ketinggalan mengeluarkan senarai calun popular mengikut kajian mereka.

Merdeka Center memilih Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden. Bagi ketua Pemuda, mereka memilih Mukhriz.

Bagi Naib Presiden pula mereka memilih Hishamuddin, Zahid dan Shafie. Manakala bagi ketua wanita dan ketua puteri, kedua-dua kajian ini memilih Shahrizat dan Shahaniza.

Oleh itu kajian siapa yang lebih tepat dan boleh dipercayai?. Saya secara peribadinya memilih kajian yang dilakukan oleh Zentrum kerana telah terbukti di Permatang Pauh dan Kuala Trengganu.

Bagaimana pandangan anda?

ULASAN NAJIB BERKENAAN PERTEMUAN PAK LAH - ANWAR

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meminta rakyat supaya tidak membuat tafsiran yang berlebihan berhubung dengan cakap-cakap politik yang kini hangat diperkatakan ekoran satu majlis sambutan Mauludir Rasul yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara cakap-cakap yang diperkatakan kononnya berlangsung pertemuan empat mata hingga membawa kepada beberapa laman blog memberikan intipati perbualan yang kononnya berlaku antara Abdullah dan Anwar.

Lebih menghangatkan suasana didakwa kononnya antara dialog Abdullah dan Anwar menyentuh mengenai peralihan kepimpinan daripada Abdullah kepada Najib hinggalah kepada cadangan supaya diwujudkan kerajaan campuran sebelum peralihan kepimpinan dilakukan.

Dalam pada itu Najib turut ditanya mengenai bilakah tarikh sebenar peralihan kepimpinan akan dilakukan. "Tunggu pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri," katanya. Sehubungan itu beliau meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan proses peralihan kepimpinan kerajaan kerana kenyataan rasmi daripada JPM akan menjawab segala persoalan berhubung dengan tarikh peralihan tersebut.

~Agendadaily

Wednesday, March 11, 2009

KEMUNGKINAN SATU LAGI PILIHAN RAYA KECIL DI KETAHUI JUMAAT

Adakah ada lagi satu pilihan raya kecil selepas Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak yang dijadual berlangsung serentak pada 7 April?

Ini nampaknya persoalan yang diajukan oleh penganalisis politik dan anggota parti politik semasa menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat ini mengenai rayuan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding untuk kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, sebagai batal dan tidak sah.

Kurup, telah memfailkan rayuan itu pada 17 Sept, 2008. Mahkamah Persekutan sepatutnya memberikan keputusannya pada 12 Feb tetapi telah menangguhkan penghakiman sehingga Jumaat ini setelah mendengar hujah-hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi dan peguam-peguam untuk Kurup dan Danny Anthony Andipai bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya sendiri akan berada di sana untuk mendengar keputusan. Saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Apa sahaja keputusan, saya bersedia."Walaupun jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, saya bersedia untuknya sejak Julai tahun lepas, saya telah buat segala persediaan," kata Kurup memberitahu Bernama di sini, Rabu.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, satu lagi pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan.Beberapa penganalisis politik berkata bahawa jika ini berlaku, senario ini sama seperti sebuah "mini pilihan raya nasional" kerana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia pilihan raya kecil diadakan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam tempoh yang singkat.

~BERNAMA

MOHD ALI RUSTAM, KHAIRY JAMALUDDIN BERADA DI DEPAN

Zentrum Future Studies Universiti Malaya yang diketuai oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah telah membuat ramalan yang hampir tepat untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Oleh itu kajian terhadap calon-calon popular pemilihan UMNO pada 24 March nanti tidak boleh dipandang sebelah mata oleh calon-calon yang bertanding dan juga perwakilan.

Menurut kajian tersebut seperti yang disiarkan oleh New Straits Times hari ini, Mohd Ali Rustam jauh meninggalkan Muhyiddin manakala Khairy Jamaluddin meninggalkan dua pesaingnya.

Kedudukan kajian tersebut adalah seperti berikut:

TIMBALAN PRESIDEN

54% - Mohd Ali Rustam
35% - Muhyiddin Yassin
11% - Mat Taib

KETUA PEMUDA

46% - Khairy Jamaluddin
39% - Mukhriz Mahathir

Kajian itu juga menyatakan Ahmad Zahid Hamidi, Rais Yatim dan Khaled Nordin mendahului bagi jawatan Naib Presiden. Manakala Shahrizat dan Shahaniza mendahului bagi jawatan ketua wanita dan ketua Puteri.

Berita penuh boleh dirujuk
disini.

KENAPA BIARKAN PAK LAH TERSALAH MASUK KANDANG?

Terperanjat saya apabila membaca tulisan GAP yang menyatakan pertemuan Pak Lah dan Anwar di Hulu Lanagat dianjurkan oleh Sheikh Mahmud Al Majzub yang dikatakan membawa ajaran Aurad Ismailiah yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1995.

Kalau benar seperti yang dinyatakan, kenapa dibiarkan Pak Lah menghadiri majlis tersebut? Kenapa pegawai-pegawai Pak Lah boleh terlepas pandang perkara yang sebegini berat?

Atau ini perancangan licik Anwar untuk memburuk-burukkan Pak Lah. Ataupun Anwar cuba menggunakan Sheikh Mahmud untuk memujuk Pak Lah demi kuasa. Semua ini perlu dijelaskan!.

Nasihat saya sudah-sudah lah Anwar. Seperti kata Karpal Singh "Bertaubatlah".

APAKAH PETANDANYA APABILA PAK LAH JUMPA ANWAR?

Saya bersetuju dengan warisan2057, pertemuan Pak Lah dan Anwar tiada yang peliknya. Bumi Malaysia bukannya luas, mana-mana kita pergi pasti terserempak dengan kawan lama atau lawan politik.

Seperti yang diketahui Pak Lah memanglah rapat dengan pentadbir sekolah-sekolah pondok. Beliau adalah cucu kepada Abdullah Fahim. Abdullah Fahim lahir dan dibesarkan di Mekah yang kemudiannya berhijrah ke Malaysia.

Beliau adalah seorang Ulama dan ahli falak terkenal yang mencadangkan tarikh keramat 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan negara. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Mufti negeri Pulau Pinang.

Beliau aktif berpolitik dan pernah jadi Pengerusi Biro Dakwah Umno. Beliau juga adalah salah seorang pengasas penubuhan Parti PAS. Itu sebabnya sukar bagi PAS untuk `kelentong' Pak Lah kerana dalam diri Pak Lah ada darah perjuangan PAS.

Saya percaya pertemuan itu adalah tidak disengajakan. Itulah uniknya politik Malaysia, walau bagaimana benci sekali pun, kita tetap bertegur sapa. Hubungan silaturrahim tidak harus diputuskan.

Oleh itu tidak ada yang pelik akan berlaku. Anwar akan terus menghadapi tuduhan liwat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pak Lah tidak akan masuk campur kes Anwar dengan pembantu peribadinya itu.

Itu masalah peribadi dan Anwar kena selesai sendiri di Mahkamah.

BAJET MINI RM60 BILION

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini telah membentangkan bajet mini berjumlah RM60 bilion pada sidang Dewan Rakyat.

Daripada jumlah tersebut, 15 bilion diperuntukkan sebagai suntikan fiskal, 25 bilion dana jaminan, tujuh bilion untuk inisiatif pembiayaan swasta dan tiga bilion bagi insentif cukai.

Menurut Menteri Kewangan itu, pakej ransangan itu diperuntukan untuk tempoh dua tahun.

Dalam pembentangan itu juga Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM27.9 bilion bagi membiayai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga barang makanan, minyak dan tol.

Katanya jumlah itu bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Tuesday, March 10, 2009

ANWAR TIDAK MENGAKU BERSALAH

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozana Ali Yusoff hari ini memindahkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi untuk ditetapkan tarikh perbicaraan.

Sementara itu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ketika kes itu disebutkan untuk ditetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan perbicaraan kes Anwar mulai 1 hingga 24 Julai depan.

Siapa yang nak mengaku bersalah kan? Faham-faham aje lah.....

HAYATI TITAH SULTAN PERAK

Sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Bulan Dakwah peringkat negeri Perak menarik perhatian banyak pihak.

Ini adalah kerana ia dianjurkan oleh kerajaan negeri yang baru dibentuk melalui perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Keberangkatan Sultan Azlan Shah ke majlis berkenaan yang juga merupakan acara rasmi dihadiri oleh rakyat pelbagai lapisan negeri itu.

Sudah tentu titah ucapan baginda ditunggu-tunggu kerana rakyat negeri Perak ingin mengetahui apakah pandangan baginda mengenai pergolakkan politik yang berlaku.

Berdasarkan titah ucapan baginda pada majlis berkenaan, jika diamati ia mempunyai maksud yang amat dalam untuk difahami.

Bernama melaporkan, Sultan Azlan menitahkan, umat Islam sewajarnya mencontohi kemuliaan sifat dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memberi rahmat ke seluruh alam sehingga membina satu tamadun yang agung.

Sultan Perak bertitah Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.

"Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda."

"Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda, sebaliknya Nabi Muhammad terus mencari jalan secara berhemah untuk kumpulan yang menentangnya agar dipertemukan dengan kebenaran dan akhirnya memberi sokongan serta bekerjasama dengannya. "

"Nabi Muhammad juga menghargai orang-orang yang berjasa dalam hidupnya yang diperlihatkan melalui layanan kepada anggota keluarganya termasuk di kalangan anggota keluarga yang enggan memeluk Islam. "

"Tamadun yang agung itu dibina daripada pancaran sifat yang melihatkan watak dan keperibadian mulia dan berhemah. Sifat dan watak yang membuatkan kawan merasa hormat dan lawan merasa segan,"

Selain itu, Sultan Azlan Shah bertitah dakwah Islam perlu dilaksanakan sebagai usaha serta tindakan yang berterusan dan sewajarnya berlaku sepanjang hayat bukannya bermusim.

"Dakwah yang berkesan bermula dengan usaha kecil, bermula dengan bercakap benar, bersifat jujur dan melakukan amalan secara ikhlas.

"Dakwah akan subur jika setiap insan tidak mengumpat, tidak melakukan fitnah, tidak berhasad dengki dan tidak bersifat haloba. Dakwah akan dapat dijayakan jika setiap insan menghayati nilai-nilai amanah dan bertanggungjawab yang diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian".

"Dakwah akan berkembang apabila insan memiliki perasaan kasih sayang, mengamalkan sikap menghormati, sentiasa merendah diri dan insaf akan sifatnya sebagai hamba kerdil di sisi penciptanya yang Maha Agung."

Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Sharipah Zulkifli dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

GMP AKAN JUMPA PM

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) berkata gerakan itu bukan sebuah gerakan yang berunsurkan politik malahan mempunyai prinsip asas iaitu mengembalikan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, GMP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat sebelum perhimpunan agung Umno hujung bulan ini bagi menjelaskan pendirian gerakan itu sebagai sebuah jawatankuasa yang aman.

"Kami mahu Pak Lah selesaikan isu PPSMI segera sebelum isu ini jadi lebih berat, kami berniat baik dalam memperjuangkan prinsip mahu mengembalikan dasar lama yang tiada masalah dalam sistem pendidikan negara.

"Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata apa yang patut dilakukan kerajaan ialah mengembalikan pengajaran mata pelajaran itu dalam bahasa Melaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan selain meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.

Itulah sepatutnya dilakukan oleh GMP, iaitu mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Dengan mengadakan demonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh dieksploitasikan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

TUGU PENDERHAKA

Penamanam lima batang pokok dan pembinaan tugu yang berslogankan `Hidup Rakyat' disifatkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai simbolik kepada kemuncak penderhakaan terhadap Sultan Perak dan Institusi Raja.

Menurut beliau sebelum ini tanda-tanda perderhakaan telah dizahirkan dengan menentang perlantikan Menteri Besar baru yang dibuat oleh Sultan Perak dan mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok tanpa perkenan baginda.

"Tindakan yang dibuat itu adalah simbolik dan secara terang-terangan menunjukkan tindakan penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan institusi Raja di Perak. Kita lihat mereka mengatakan itu adalah tempat dan pokok demokrasi, tetapi bagi saya ia adalah tempat `patik mohon sembah derhaka' sebenarnya. Itulah punca dan kemuncak yang mereka lakukan," katanya.

Malah di akhir tugu yang dibina tercatat secara jelas Hidup Rakyat! yang ditafsirkan oleh banyak pihak sebagai simbolik penolakan kepada institusi raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz semasa sidang Dewan Rakyat minggu lalu secara terbuka menyifatkan usaha pembangkang untuk menobatkan ketuanan rakyat boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk membawa negara ini menjadi sebuah negara republik.

~Agendadaily

Monday, March 9, 2009

PAKATAN RAKYAT BERMIMPI DI SIANG HARI

Impian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi ketiga-tiga pilihan raya kecil umpama bermimpi disiang hari.

Kenyataan ini semata-mata untuk mengelirukan rakyat kerana pada hakikatnya Pakatan Rakyat hari ini berada pada kedudukan paling lemah dengan moralnya menghampiri `sifar'.

Anwar seperti biasa berkata Pakatan Rakyat akan terus berjuang menentang rasuah dan membantu rakyat miskin. Kah! kah! kah! ketawa kawan-kawan saya membaca kenyataan tersebut.

Menentang rasuh? Membantu rakyat miskin?. Hebat!.

Baru satu tahun tetapi rakyat sudah boleh melihat `belang' sebenar mereka. Ingat! rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya.

DEMONSTRASI PPSMI CEMAR IMEJ PEJUANG BAHASA TULEN


"Sudah terang lagi bersuluh", kehadiran pemimpin-pemimpin PKR dan PAS di perhimpunan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dieksploitasikan oleh parti pembangkang.

Berdasarkan apa yang berlaku, jelas tindak tanduk sebahagian daripada mereka bukan berasas kepada perjuangan bahasa mahupun pendidikan. Sebaliknya mereka cuba mengeksploitasi apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka.

Pejuang-pejuang bahasa tulen seperti Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Datuk Dr Hassan Ahmad dan Ketua I Persatuan Penulis Nasional (PENA) Datuk Baha Zain telah diperalatkan dan terperangkap di dalam situasi ciptaan mereka ini.

Mereka bijak mengeksploitasi pejuang-pejuang bahasa tulen yang sebelum itu memberi jaminan mengadakan perhimpunan secara aman dan hanya beberapa orang sahaja akan ke Istana Negara menyerahkan memorandum bantah PPSMI kepada Yang di Pertuan Agong.

Oleh itu saya menyeru kepada pejuang-pejuang bahasa tulen supaya menjauhi kumpulan ini. Sekiranya mereka terus diperalatkan, lama-kelamaan imej mereka sendiri yang selama ini dipandang mulia oleh masyarakat akan tercemar.

SALAM MAULIDUR RASUL 1430H


Saturday, March 7, 2009

SULTAN SELANGOR MURKA


* Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan orang Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan raja-raja dan bangsanya sendiri sebagai biadap.

* Golongan ini juga disifatkan baginda sebagai tidak berbudi bahasa dan tidak ada perasaan malu kerana mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan raja-raja dan hak orang Melayu secara terbuka.

* Kemajuan dan pembangunan yang dicapai boleh hancur jika orang Melayu terus bercakaran, disebabkan terlalu ghairah merebut kuasa.

* Tidak ada gunanya bangsa Melayu kekal di dunia tetapi tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

* Orang Melayu perlu bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan Islam.

~Utusan

Friday, March 6, 2009

HIDUP PAKATAN RAKYAT!


BERKAITAN kenyataan "Sidang DUN atas pokok pun sah" Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff berkata komen yang beliau berikan tidak disiarkan sepenuhnya oleh pihak media. Ini menyebabkan beliau dilanda kontroversi.

Diantara intipati komen beliau yang tidak disiarkan ialah sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Berkenaan adakah perkenan Sultan diperlukan? Beliau menjawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas was adjourned (ditangguhkan).

Berkenaan sidang tersebut sah ataupun tidak, Agus menjawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik.

Untuk menyelesaikan krisis ini Agus mencadangkan melalui dua cara. Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali, YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Walaubagaimanapun Agus menegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Kenyataan penuh Prof Madya Mohammad Agus Yusoff boleh dibaca disini.

NIZAR vs ZAMBRY KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Mahkamah Tinggi (bahagian rayuan dan kuasa khas) memutuskan isu-isu perlembagaan bagi menentukan menteri besar Perak yang sah akan ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Hakim Lau Bee Lan lebih senang perkara tersebut dirujuk terus kepada mahkamah tertinggi itu bagi mempercepatkan keputusan berhubung pergelutan politik di negeri itu antara Pakatan Rakyat dan BN.

Hakim juga meminta peguam kedua-dua pihak merumuskan soalan-soalan yang akan dibawa ke mahkamah tersebut.

AHLI PARLIMEN PAS BERCANGGAH PENDAPAT

Ahli Parlimen PAS di lihat tidak sekata di dalam isu penggunaan nama Allah. Taib Azamudden Mat Taib (PAS-Baling) ketika di Dewan Rakyat memberitahu bahawa nama Allah berdasarkan kepercayaan (tauhid) orang Islam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Taib Azamudden yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara berkata ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

Penjelasan anggota Parlimen Baling itu dilihat selari dengan pegangan kerajaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Terdahulu ketika membincangkan isu yang sama, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) memberi pendapat yang berbeza.

Dr Dzulkefly dalam hujahnya berkata persoalan mengenai penggunaan nama Allah tidak harus timbul kerana telah diakui dalam al-Quran bahawa kalimah Allah turut digunakan oleh bukan Islam.

Khalid pula menyokong pandangan Dzulkefly dengan membaca sepotong lagi ayat al-Quran yang menunjukkan orang bukan Islam mengakui bumi ini diciptakan Allah.

Thursday, March 5, 2009

UMNO PERLU WUJUD PASUKAN PERANG PSIKOLOGI

Barisan Nasional terutamanya Umno perlu mewujudkan pasukan perang psikologi bagi menangkis dakwaan negatif pembangkang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata selain itu, strategi, integriti dan kredibiliti parti perlu ditingkatkan bagi menarik perhatian rakyat.

"Masalah kita adalah kita benarkan persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kita berpanjangan. Bila dah berakar umbi, lebih susah untuk kita keluar dari keadaan itu," katanya pada sidang media di Angkasapuri di sini.

Syed Hamid berkata pewujudan pasukan perang psikologi juga boleh mematangkan parti dan menangkis sebarang tanggapan negatif masyarakat terhadap parti.

"Apabila ada sesuatu yang berlaku mesti ada tindakan pantas yang akan menghilangkan dan meredakan persepsi yang salah terhadap kita".

"Kita lemah dalam bidang penerangan serta lemah dalam propaganda penerangan sedangkan parti pembangkang kuat dalam propaganda walaupun mereka tidak ada penerangan," katanya.

- BERNAMA

KETUA AMK KEPALA BATAS DISIASAT PKR

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Kepala Batas, Amizudin Ahmat ketika sidang akhbar di Bukit Mertajam, hari ini, berhubung pendiriannya menggunakan media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan individu tertentu dalam parti itu agar pucuk pimpinan dapat bertindak. - Foto Bernama


Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat dipanggil oleh jawatankuasa khas siasatan parti itu berhubung dakwaannya baru-baru ini bahawa beliau mempunyai bukti mengenai pemimpin parti itu menerima wang dari pengusaha kuari.

Amizudin diminta hadir pada Sabtu ini. Beliau membuat dakwaan tersebut melalui media pada 26 Februari lalu.Beliau memberitahu demikian hari ini ekoran kenyataan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berhubung perkara itu.

Zahrain dilaporkan menegur Amizudin kerana membangkitkan isu itu di media tanpa memaklumkan perkara itu kepada beliau terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Amizudin berkata, beliau terpaksa menggunakan media bagi mendedahkan penyelewengan melibatkan individu tertentu dalam parti itu agar pucuk pimpinan dapat bertindak

."Pendedahan melalui media bertujuan memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti," katanya kepada pemberita. Amizudin juga terkilan kerana dituduh mendedahkan perihal dalaman PKR Pulau Pinang kerana jawatannya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak disambung.

Amizudin berkata beliau kecewa kerana tiada tindakan diambil terhadap pemimpin yang berkenaan walaupun beliau telah menyerahkan dokumen berhubung isu itu kepada presiden parti pada 8 Januari lalu.

~Malaysiakini