**BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....


DAP.....PILIHAN BIJAK

LEE KUAN YEW.....BAGUS

Wednesday, February 4, 2009

UKURAN KEADILAN ALA PKR...`HAK ENGKAU HAK AKU...HAK AKU TETAP HAK AKU'

Jika dahulu, sebelum menguasai kerajaan negeri dan berjaya memperolehi kerusi yang banyak di Dewan Rakyat sehingga boleh mengisi jawatan Ketua Pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sering membawa isu berkaitan dengan keadilan dan perjuangan yang lebih baik.

Moto yang sering digunakan mesti dikaitkan dengan demokrasi, kepentingan dan hak rakyat serta penindasan terhadap rakyat. Namun setelah hampir satu tahun menguasai sebuah negeri iaitu Selangor dan menjadi rakan kongsi di tiga negeri lain iaitu Perak, Pualau Pinang dan Kedah, rasanya elok dilihat apakah ukuran mengenai keadilan, kebenaran dan ketelusan PKR masih sama seperti sebelum mendapat sedikit kuasa.

UKURAN MENGENAI PERJALANAN PILIHAN RAYA DAN SPR

Sebelum pilihanraya umum ke-12, antara isu yang sering dibangkitkan ialah SPR tidak telus, wujudnya pengundi hantu dan SPR bersekongkol dengan kerajaan.

Selepas pilihan raya umum ke-12 setelah lima negeri dikuasai oleh barisan pembangkang yang membentuk kerajaan campuran di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah serta PAS menguasai Kelantan, tidak timbul isu pengundi hantu, SPR tidak telus dan meragui keputusan pilihan raya umum ke-12.

Namun menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, gegak gempita negara dibuatnya dengan isu pengundi hantu, senarai daftar pemilih tidak bersih. Bagaimanapun apabila menang di kedua-dua kerusi tersebut, tidak pula dibuktikan wujudnya pengundi hantu malah mereka lupa apa yang disuarakan kerana asyik meraikan kejayaan.

Terbaru, apabila SPR memutuskan tiada pilihan raya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering seperti yang diharapkan, SPR kembali dituduh melampaui batas kuasa mereka dan mulalah lagu lama dinyanyikan kembali.

AKUAN BERSUMPAH, TUDUHAN DAN SIASATAN

Sejak mula ditubuhkan, PKR amat dikenali dengan dokumen yang namanya akuan bersumpah.

Semua dilakukan secara bersumpah. Walaupun daripada sudut perundangan, akuan bersumpah boleh dibuat oleh sesiapa sahaja dan kemudiannya membayar RM5 kepada pesuruhjaya sumpah untuk dicop, ia seolah-olah menjadi dokumen yang telah membuktikan tuduhan.

Setelah tuduhan, akuan bersumpah dibuat dan desakan agar siasatan dijalankan, ukuran yang digunakan oleh PKR terutama kepada musuh politkknya ialah : Belum pun kertas siasatan dibuka, desakan pertama ialah digantung tugas kerana ini untuk keadilan.

Jika orang yang dituduh itu ada kaitan dengan sebarang kes yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang yang dituduh tidak boleh campur tangan dalam sebarang kes yang melibatkan Anwar (Contoh kes liwat yang terbaru terahdap Anwar, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai institusi langsung tidak boleh ada kaitan dengan kes berkenaan hanya semata-mata Anwar membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BPR ketika itu) terhadap kedua-dua pegawai terbabit.

Terbaru, desakan Angkatan Muda PKR yang mahu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak digantung tugas hanya kerana ada seorang pemimpin Bahagian PKR buat dakwaan berhubung dengan tawaran RM50 juta. Namun, jika ada yang membabitkan pemimpin PKR : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bukan sekadar ada aduan atau laporan tetapi telah pun disiasat, beliau masih boleh meneruskan tugas dan tidak perlu digantung tugas.

Anwar sendiri ada kes di mahkamah, beliau sepatutnya ‘bercuti’ dahulu daripada tugas Ketua Pembangkang. Itu pun kalau mengikut standard keadilan dan ketelusan PKR sendiri namun ia tidak berlaku. Malah dalam kes Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu sendiri -semasa mereka jadi Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini - PKR dan kerajaan Perak mengenepikan dan memandang remeh semua desakan agar ' bercuti' dulu sehingga kes mahkamah atas dakwaan rasuah keatas mereka selesai. Namun kini bila kedua mereka beralih angin - PKR dan kerajaan Perak menyerang mereka habis-habisan.

DEMOKRASI, HAK DAN KEBEBASAN

Dalam konteks demokrasi, PKR mahu dilihat sebagai jaguh mempertahankan prinsip demokrasi di negara ini. Sebelum memperolehi sedikit kuasa , PKR sering mempertahankan hak sesorang untuk berpersatuan atau berpertubuhan (jika menyokong mereka) namun jika ada penyokong mereka keluar parti untuk menyertai parti lain (sesuai dengan hak berpesatuan yang diperjuangkan oleh PKR sendiri) ia dianggap satu pengkhianatan dan wujudnya sogokan.

Namun kini setelah berkuasa sedikit, dalam perkembangan terbaru, perkara yang ditentang dahulu iaitu lompat parti kini telah menjadi sesuatu yang begitu demokratik di mata PKR.

Contohnya ADUN BN Bota, Nasaruddin Hashim yang melompat diangkat sebagai hero oleh PKR. Malah Anwar sendiri secara terbuka mengakui menjalankan usaha melobi serta mengajak wakil rakyat Barisan Nasional untuk melompat parti bagi memenuhi impian peribadinya menjadi Perdana Menteri.

Namun ia dibuat atas nama rakyat kononnya. Begitulah demokratiknya PKR dalam soal hak berpertubuhan jika ia menguntungkan mereka.

Namun dalam isu dua ADUN PKR di Perak iaitu ADUN Behrang dan Changkat Jering belum pun meninggalkan atau melompat parti hanya berbeza pendapat dengan kepimpinan, mereka rupanya telah diikat dengan 'surat kosong' perletakan jawatan. Adakah ini satu tindakan demokratik.

Malah, pelbagai usaha dibuat bagi ‘mematikan’ kedua-dua ADUN itu dengan berusaha untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Alasannya, perlu mendapat mandat rakyat. Lagi sekali rakyat dijadikan alasan. Namun jika itu ukuran PKR kenapa tidak melaksanakan perkara yang sama di Bota.

Minta Nasaruddin letak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk mendapat mandat rakyat. Agaknya ukuran yang digunakan oleh PKR dalam konteks demokrasi, hak dan kebebasan ialah seperti ungkapan yang selalu digunakan “ hak engkau hak aku, hak aku tetap hak aku”.

Maknanya. apabila ada wakil rakyat melompat sertai mereka ia satu amalan demokrasi, hak dan kebebasan yang perlu dihormati. Namun jika ada wakil mereka pula cuba untuk menyertai parti lain, mereka diikat dengan surat meletak jawatan dan pelbagai tohmahan dilemparkan (seperti diugut, disogok) dan didesak adakan pilihan raya kecil bagi mendapat mandat rakyat katanya.

~Agendadaily

Setelah hampir setahun pemerintahan PR di lima negeri, seharusnya rakyat sudah boleh menilai adakah mereka sebenarnya telah memilih kerajaan PR yang lebih baik atau dua kali lima atau kerajaan yang lebih teruk.

Kalau di Iraq, rakyat negera tersebut yang pada mulanya menyokong Amerika menjatuhkan Saddam tetapi hari ini membaling kasut kepada Bush selepas beberapa tahun menjajah negara tersebut.

Adakah perkara yang sama akan berlaku di Malaysia, selepas setahun PR memerintah di lima negeri, rakyat akan membaling kasut kepada Anwar Ibrahim?

Sama-sama kita tunggu dan lihat!

PERAK DENGAN KEMELUT POLITIK....KEDAH DENGAN SKANDAL EXCO

Jika di Perak, kemelut politik berlaku ekoran wujudnya permainan politik dalam kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS berlainan pula halnya dengan kerajaan campuran PAS dan PKR di Kedah.

Ia bukan cerita lompat parti tapi menguji sejauh mana parti yang memerintah negeri itu yang sering dalam ceramahnya menuduh pihak lain mempunyai pelbagai skandal hendak menyelesaikan tuduhan skandal yang membabitkan seorang anggota Exco Kerajaan negeri itu.

Ini ekoran lebih 500 penduduk menandatangani memorandum yang dikemukakan kepada Sultan Kedah meminta campur tangan baginda terhadap seorang Exco yang tanpa segan silu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat apabila berkesedudukan hingga melahirkan anak.

Walaupun pekara berkenaan menurut wakil penduduk yang menyerahkan memorandum tersebut pernah diadukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, skandal berkenaan seolah-olah tidak mendapat perhatian beliau.

Sebaliknya, ahli Exco berkenaan yang dikatakan sudah beristeri secara terbuka didakwa membawa wanita simpananya ke majlis-majlis di istana dan upacara rasmi kerajaan negeri.

Exco yang didakwa itu baru-baru ini membuat aduan bahawa beliau diugut untuk melompat parti meninggalkan PKR. Namun, ada yang menyifatkan aduannya itu untuk mengalih perhatian umum terhadap skandal yang dihadapinya itu.

Terbaru, tersebar cerita Exco berkenaan ditangkap bersama dengan seorang wanita Islam. Namun, sehingga kini tiada pengesahan atau penafian dibuat oleh mana-mana pihak berhubung dengan cerita berkenaan.

~Agendadaily

Benarlah kata pepatah, Pakatan Rakyat ini seperti "Mengata dulang paku yang serpih, mengata orang dia yang lebih"

LAGI ADUAN SALAH GUNA KUASA KHALID IBRAHIM

Bukan soal jumlahnya kecil atau besar tetapi ianya salahguna kuasa dan wang awam bagi kepentingan peribadi.

Demikian ditegaskan Pengerusi Gerakan Anti Korupsi Malaysia (GERAK), Mohd Nazree Mohd Yunos selepas membuat satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, petang Selasa.

Mohd Nazree berkata laporan itu meminta SPRM menyiasat berkaitan amalan Menteri Besar menggunakan wang awam untuk membiayai kos penyelenggaraan dan pembelian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadinya.

Katanya beliau menyerahkan enam keping dokumen kepada SPRM termasuk invois dan resit penyelenggaraan kereta jenis Lexus nombor pendaftaran WQR779 milik Abdul Khalid.

Beliau mendakwa bahan bukti yang diterima oleh GERAK menunjukkan kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM7,797 bagi membiayai kos penyelenggaraan kereta Abdul Khalid itu secara berkala, alat ganti termasuk tayar berjenama Michelin dan pemasangan cermin gelap.

Menurut Mohd Nazree, sepengetahuannya, peraturan kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana kereta milik persendirian digunakan sebagai kenderaan rasmi serta dibayar menggunakan mana-mana peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

“Menteri Besar diperuntukkan kenderaan rasmi yang sentiasa diselenggara oleh kerajaan negeri tetapi beliau menggunakan kereta sendiri dan meminta kerajaan negeri membiayai kos penyelenggaraan,” katanya.

Kerajaan Selangor baru-baru ini membeli 15 kereta Toyota Camry 2.4 bernilai lebih RM2.3 juta sebagai kenderaan rasmi menggantikan Proton Perdana Eksekutif.

Difahamkan, sejak dilantik Menteri Besar, Abdul Khalid tidak menggunakan kenderaan rasmi yang disediakan termasuk Toyota Camry yang baru.

Beliau menggunakan kenderaan Toyota Lexus miliknya sendiri manakala sebuah kereta rasmi kerajaan negeri hanya sebagai kereta pengiring yang membawa anggota polis pengiring peribadi.

Menurut Mohd Nazree, jika perkara-perkara kecil seperti ini tidak dibuat atas lunas-lunas integriti, ketelusan dan amanah, GERAK tidak dapat membayangkan program-program besar yang melibatkan wang rakyat yang banyak.

Beliau sekali lagi menegaskan, Abdul Khalid perlu melepaskan jawatan Menteri Besar atau bercuti bagi melicinkan kerja-kerja SPRM.

“Sebagai bekas tokoh korporat yang berwibawa, beliau hendaklah menjaga kewibawaan dan keprofesionalan dengan berbuat demikian,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, GERAK membuat laporan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid atas dakwaan menyalahgunakan dana syarikat kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu dengan harga RM110,400 untuk ibadah korban sempena Aidiladha pada Disember lalu.

Haiwan itu kemudiannya diagihkan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakilinya.

Mengulas laporan terdahulu, Mohd Nazree menyatakan kecewa kerana Abdul Khalid memberikan alasan sedekah dan berdolak dalih dalam isu berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru tokoh agama atau ulama memberikan pandangan mengenai pengertian sedekah yang sebenarnya termasuk menggunakan sumber yang diragukan.

~Agendadaily

PAKATAN TIMBANG ADAKAN PILIHAN RAYA MENGEJUT DI PERAK

Menteri Besar Perak, Datuk Mohd Nizar Jamaluddin mengakui bahawa Pakatan Rakyat sedang menimbangkan kemungkinan membubarkan dewan undangan negeri bagi membolehkan satu pilihanraya mengejut diadakan.

"Kita dalam proses memikirkannya. (Anda akan tahu) bila tiba masanya," katanya ketika menjawab soalan media.

Mohd Nizar memberitahu pemberita demikian malam tadi selepas mempengerusikan satu mesyuarat di kediamannya yang dihadiri oleh sebahagian besar ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan serta pemimpin utama dari PAS, DAP dan PKR.Kelmarin, dua Adun Pakatan - Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) - keluar parti, menyebabkan kerusi Pakatan kini tinggal 30 daripada 59 kerusi di dewan undangan negeri Perak.

Barisan Nasional (BN) hanya perlukan dua Adun berkenaan dan seorang lagi wakil rakyat menyertai gabungan itu bagi membolehkannya mengambil kuasa daripada Pakatan yang mentadbir Perak sejak 10 bulan lalu.

Walaupun kerajaan negeri mungkin mengadakan pilihanraya mengejut untuk mengelak wakil rakyatnya melompat parti menyertai BN, langkah Pakatan seterusnya untuk menyelesaikan situasi yang genting itu ialah mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak mengiktiraf surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman.

~Malysiakini

Itulah sahaja peluang yang masih ada untuk Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaannya.

AHLI PARLIMEN PKR TELOK KEMANG MENJADI PEMBACA SETIA BLOG UMNO BAGAN PINANG

Semalam saya menerima beberapa SMS tahniah daripada kepimpinan UMNO di DUN Bagan Pinang kerana blog UMNO Bagan Pinang yang dikendalikan oleh saya telah berjaya menarik ramai pengunjung sehingga Ahli Parlimen Telok Kemang daripada PKR juga menjadi `Pembaca Setia'. (Lihat senarai pembaca setia)

SIA-SIA CABAR SPR - KARPAL SINGH

Adalah sia-sia untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, masing-masing sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang dan Changkat Jering, di mahkamah, kata Pengerusi DAP Karpal Singh.

Karpal Singh, yang juga seorang peguam kanan, berkata ia "akan hanya membazirkan usaha dan masa" untuk mencabar keputusan SPR itu yang diumumkan hari ini, kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982 dalam kes serupa.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan anggota parti ketika itu Sinyium anak Mutit, memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker adalah bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

"Keputusan SPR itu boleh dicabar dan tiada siapa boleh menghalang perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi mereka akan berdepan tugas amat sukar berikutan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1982.

"Dalam kes ini, saya pasti SPR telah dinasihatkan oleh pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan yang lain.

Ini merupakan keputusan yang jelas di pihak SPR yang terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

~Bernama

KERAJAAN PERAK AKAN CABAR SPR DI MAHKAMAH

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbar malam tadi menyatakan kerajaan negeri akan mencabar keputusan SPR di mahkamah selepas tempoh 48 jam dan tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Behrang dan Changkat Jering.

Sementara itu Speaker DUN Perak V.Sivakumar dalam sidang akhbar yang sama berkata jawatan exco yang dipegang oleh kedua-dua ADUN itu juga dilucutkan dan mereka tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN negeri yang akan datang.

DESAS-DESUS LOMPAT PARTI MENULAR KE SELANGOR, KEDAH DAN NEGERI SEMBILAN

Nampaknya isu lompat parti tidak akan berhenti setakat di Perak tetapi desas desus telah tersebar luas ianya telah menular ke Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan.

Di Perak isunya berkisar kepada rasa tidak puas hati kepada dua sepupu Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming kerana terlalu mendominasikan kerajaan Negeri Perak walaupun Menteri Besarnya adalah daripada PAS.

Bukan setakat ADUN Melayu yang berasa tidak selesa dengan dua sepupu ini tetapi bukan rahsia lagi ADUN-ADUN daripada DAP juga, terutamanya Timbalan Speaker DUN Perak Hee Yit Fong juga tidak sebulu dengan dua sepupu ini.

Ditambah pula isu pemberian tanah kampong baru menambah kemarahan orang melayu dan memberikan gambaran kepada orang melayu bahawa MB Nizar hanyalah boneka DAP dan tidak mampu untuk menjaga kepentingan orang melayu dan agama Islam.

Di Selangor pula memang di ketahui umum beberapa ADUN daripada PAS yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri yang didominasikan oleh PKR dan DAP. ADUN-ADUN PAS telah merasa `muak’ dengan berbagai skandal yang telah melanda kerajaan negeri.

Bermula dengan skandal kandang babi, kemudiannya pembelian camry dan yang terakhir sekali skandal lembu korban begitu memalukan. Ini ditambah dengan isu laungan azan dan janji-janji manifesto yang tidak di tunaikan.

Diberitakan ADUN-ADUN PAS juga terkilan dengan kerajaan negeri kerana beberapa cadangan berkenaan dengan agama Islam telah ditolak mentah-mentah. Sedangkan itulah janji-janji PAS kepada penyokong mereka semasa PRU-12 yang lepas.

Bisik-bisik rakyat mula kedengaran di Selangor samada mereka sebenarnya telah memilih kerajaan yang lebih baik daripada BN. Kalau pada PRU-12 yang lepas mereka menoloak BN kerana isu rasuah dan penyelewengan maka perkara tersebut tidak berkurangan di dalam kerajaan Pakatan Rakyat, malah lebih lagi.

Perkara ini semua memberi tekanan kepada ADUN-ADUN PAS yang nampaknya lebih jujur memperjuangkan nasib rakyat. Dan mereka mula sedar matlamat perjuangan mereka untuk menubuhkan Negara Islam tidak akan tercapai sekiranya terus berada di bawah Pakatan Rakyat kerana jelas sekarang PKR dan DAP tidak akan menyokong matlamat perjuangan PAS tersebut.

Di Kedah pula khabarnya ada beberapa ADUN Pakatan Rakyat yang tidak sehaluan dengan Menteri Besar yang dikatakan `cenge’ dan sukar menerima cadangan orang lain. Beliau juga dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan DAP di dalam isu menaikkan kuota rumah bumiputera kepada 50% dan isu penebangan balak di kawasan tadahan.

Di Negeri Sembilan, YAB Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan tidak menolak desas desus yang mengatakan ada ADUN pakatan Rakyat yang akan melompat ke BN. Ini adalah kerana hubungan diantara PAS, PKR dan DAP adalah tidak lagi `semesra’ dulu.

Perkara ini paling jelas berlaku di Parlimen Telok Kemang dimana ramai penyokong-penyokong PAS tidak berpuas hati dengan Ahli Parlimen Telok Kemang daripada PKR. Semasa PRU-12 yang lepas merekalah yang berkerja bersungguh-sungguh untuk kemenangan PKR tetapi selepas PKR berjaya menawan Telok Kemang mereka semua di ketepikan.

Selain daripada itu kedengaran cakap-cakap daripada penyokong PAS yang PKR Telok Kemang `tidur’ dan hanya menunggu aktiviti-aktiviti daripada PAS sahaja. Dan yang lebih merisaukan PKR adalah penyokong-penyokong PAS dikatakan akan memberikan undi protes kepada PKR di dalam PRU-13 yang akan datang.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Tuesday, February 3, 2009

MESYUARAT TERGEMPAR PAKATAN PERAK MALAM INI

Jimadie Shah Othman

Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak akan menghadiri mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan tindakan selanjut berhubung isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Hari ini, Jamaluddin dan Osman dilaporkan telah keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas. Seorang Adun PKR memberitahu Malaysiakini, pertemuan 30 wakil rakyat Pakatan itu akan turut melibatkan pemimpin ketiga-tiga parti gabungan dalam Pakatan di negeri itu. Pertemuan itu akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Ipoh jam 8 malam ini.

~Malaysiakini

Adakah kemungkinan MB Perak akan membubarkan DUN?

JAMALUDDIN, OSMAN DILAPOR JADI ADUN BEBAS

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dipetik memberitahu sebuah portal berita yang beliau telah keluar dari PKR dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Portal berita itu juga memetik Jamaluddin sebagai berkata, Adun Changkat Jering, Osman Jailu juga telah keluar parti dan kini menjadi Adun bebas.

~Malaysiakini

DUA ADUN PERAK KEKAL ADUN : SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Susulan itu tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, kata pengerusinya Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering. "Oleh itu, SPR ... memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya umum ke-12 lepas," kata Abdul Aziz.

"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang-penyandang kerusi berkenaan yang telah dihantar oleh Yang Dipertua DUN Perak itu memandangkkan kedua-dua penyandang kerusi terbabit sendiri secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuatkuasa," tambahnya.

Beliau mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar mengisytiharkan kekosongan dua kerusi itu dengan menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam. Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa. Surat peletakan jawatan mereka itu diserahkan kepada SPR selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas.

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti.

~Malaysiakini

SAYANGNYA NIZAR PADA JAWATAN MENTERI BESAR

Kemelut politik di Perak semakin bercelaru. DAP nampaknya bercanggah pendapat dengan PKR. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menyatakan kekosongan dua kerusi berkenaan dan meminta pilihan raya kecil diadakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Tindakan Speaker DUN Perak itu disokong Exco Kanan kerajaan campuran negeri itu, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga merupakan Pengerusi DAP Perak dengan mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh Speakaer berkenaan.

Malah Ngeh memperkuatkan pendirian DAP bahawa mana-mana ADUN yang melompat parti, pilihan raya kecil yang baru hendaklah diadakan di kawasan berkenaan bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

Memperkukuhkan hujahnya lagi, Ngeh mahu undang-undang anti lompat parti digubal dan DAP katanya, akan menyokong akta berkenaan.

Manakala Pengerusi PKR Perak pula, Osman Abdul Rahman pula dalam sidang media di Ipoh, hari Ahad menegaskan, kedua-dua ADUN tersebut masih lagi wakil rakyat PKR kerana tidak pernah menyatakan hendak keluar parti itu.

Juga persoalan yang tidak harus dilupa ialah apakah pendirian rasmi kerajaan campuran Perak dengan kedudukan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang melompat dari BN menyertai PKR?

Umum mengetahui, PKR sudah tentu menyambut serta menadah tangan penyertaan Nasaruddin kepada mereka malah Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mempertahankan tindakan Nasaruddin itu sambil menyifatkan ia satu proses ‘demokrasi’.

Namun dalam kes dua ADUN yang ‘menghilangkan’ diri ini, Nizar menuduh ia merupakan perancangan jahat BN untuk menumbangkan kerajaan negeri Perak yang dipilih oleh rakyat.

Dalam konteks Nasaruddin, apakah ukuran demokrasi digunakan oleh Nizar? Nizar memperlihatkan tahap ‘gelabah’ yang amat tinggi bimbang hanya mampu bertahan menjadi Menteri Besar Perak tidak sampai satu tahun.

Sayangnya Nizar pada jawatan Menteri Besar ini.....

Monday, February 2, 2009

STATUS ADUN: SPR PUTUSKAN ESOK

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok bagi menentukan status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Perak, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi yang dilaporkan telah meletak jawatan semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan dengan teliti berikutan terdapat percanggahan fakta yang ketara hingga menimbulkan kekeliruan.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk dari sudut perundangan bagi memastikan keputusan yang akan diambil tidak menimbulkan sebarang implikasi, Bernama melaporkan "Saya masih belum menerima surat peletakan jawatan yang dimaksudkan kerana pejabat masih bercuti (cuti umum Hari Wilayah).

Tetapi saya telah dihubungi oleh Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah yang memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan kedua-dua Adun berkenaan, dan juga surat penafian peletakan jawatan oleh mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan kedua-dua Adun tersebut yang telah menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak kini seolah-olah berada di hujung tanduk.Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa Adun Behrang, Jamaluddin dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada jam 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun kedua-dua Adun daripada PKR itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lalu, pada malam tadi menafikan kenyataan speaker DUN Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihanraya umum lalu. Menurut Abdul Aziz, mesyuarat tersebut akan diadakan secara tertutup dan pihaknya tidak bercadang untuk membuat hebahan media mengenai perkara itu.

"Bagaimanapun saya akan lihat kemungkinan untuk beri kenyataan akhbar mengenai isu ini selepas kita mendapat keputusan," katanya.

KENYATAAN PENUH JAMALUDDIN MOHD RADZI

Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang.

Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit. Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.

Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya. Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.

Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau. Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti. Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu.

Yang benar,

YB Jamaluddin Mohd Radzi
2 Februari 2009

KENYATAAN PENUH OSMAN MENAFIKAN PERLETAKAN JAWATAN

Penafian perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Changkat Jering.

Adalah saya, Yang Berhormat Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, ingin menafikan bahawa saya telah meletakkan jawatan saya sebagai wakil rakyat.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah pergi ke rumah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi menyerahkan surat peletakan jawatan saya seperti yang didakwa.

Sebaliknya, saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti.Saya berharap penjelasan saya ini akan merungkai segala kekeliruan yang timbul.

Pada masa yang sama, saya juga berharap para pemimpin Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur tohmahan terhadap saya.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti penduduk di kawasan Changkat Jering, saya merasakan bahawa tugas saya sebagai wakil rakyat masih banyak dan mesti diteruskan berdasarkan amanah yang dipikul di bahu saya.

Sekian.

Yang benar,

YB Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu

PERAK MENANTI KERAJAAN BARU


Berita ini saya petik daripada Perak Bangkit ~ Satu surat yang telah ditandatangani oleh lebih 30 ADUN telah berada ditangan Datuk Seri Tajol Rosli untuk dikemukakan kepada DYMM Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Perak.

Kandungan surat tersebut adalah untuk menyatakan ketidakpercayaan kepada kepimpinan MB Nizar dan mencadangkan supaya perlantikan MB baru di buat.

Nampaknya politik perak semakin panas dan dilaporkan semakin ramai yang demam sehingga kehabisan stok panadol actifast di Ipoh. Saya nak tanya Sya~reformis samada stok baru dah sampai ke belum?

OSMAN BUAT LAPORAN POLIS

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohd Osman Jailu membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, awal pagi tadi bagi menafikan peletakan jawatannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, yang mengesahkan menerima laporan itu berkata, laporan dibuat kira-kira jam 1.30 pagi tadi oleh wakil Mohd Osman, Mohd Farizal Umar.

Katanya, laporan polis itu antara lain menyebut laporan berita TV3 malam tadi mengenai pengumuman Speaker DUN, V Sivakumar yang Mohd Osman sudah menghantar surat peletakan jawatannya adalah satu pembohongan dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

~Berita harian online

SIAPAKAH YANG `KONGKALIKONG'

Apabila Anwar Ibrahim mengatakan perdana menteri `kongkalikong' ketika mengalu-alukan penyertaan dua exco kerajaan Perak bersama BN, sebenarnya beliau terlupa untuk mencerminkan dirinya sendiri.

Siapakah yang melaungkan demokrasi tetapi sanggup membeli ahli-ahli Parlimen BN untuk melompat parti?

Siapakah yang melaungkan anti-rasuah tetapi beliaulah yang sebenarnya`super' rasuah?

Siapakah yang pandai membuat `gula-gula' manifesto tetapi tidak mampu untuk menunaikannya?

Dan siapakah yang berjanji untuk mendahulukan rakyat tetapi belum sampai setahun telah membelanjakan wang rakyat RM3.2 juta untuk membeli Camry?

Kesimpulannya memang benarlah Allah mencipta deria penglihatan hanya untuk melihat keluar dan tidak nampak diri sendiri.

Rakyat yang akan menilai siapa yang `kongkalikong'.

SPEAKER SERAH SURAT PADA SPR PERAK

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar berjumpa dengan pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak, Adli Abdullah jam 8 pagi ini.

Dalam perjumpaan di pejabat SPR Perak, Sivakumar telah menyerahkan surat secara rasmi kepasda SPR negeri untuk mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Changkat Jering dan Behrang.

~Malaysiakini


Persoalannya adakah pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan menerima surat tersebut sebagai surat yang sah dan pilihan raya kecil perlu di adakan?

Apa pula akan terjadi sekiranya Jamaluddin dan Osman mengambil tindakan undang-undang untuk menyekat pilihanraya kecil diadakan kerana menganggap surat kosong mereka tidak sah?

Dan yang menarik juga ingin diketahui umum adalah sebab sebenar mereka berdua ingin keluar dari PKR?

Apakah kerana kes rasuah yang bakal dibicarakan pada 10 Februari ini seperti didakwa oleh pembangkang atau kerana ada sebab-sebab lain yang lebih besar?

Sama-samalah kita tunggu perkembangan seterusnya.

SIAPA SEBENARNYA YANG TAKUT PADA BAYANG-BAYANG?


Suasana politik di Perak nampaknya semakin hangat. Pada hari ini sudah tentu semua orang akan tertumpu kepada kenyataan akhbar yang akan diadakan oleh dua ADUN PKR yang dikatakan sudah meletak jawatan tersebut.

Masih banyak tandatanya yang berlegar, tetapi penafian dua ADUN tersebut yang mereka telah meletak jawatan dan pengakuan mereka menandatangani surat aku janji `kosong' begitu mengejutkan.

Sekarang terbukti, siapakah yang takut pada bayang-bayang sendiri. Rupa-rupanya diluar pengetahuan umum parti pimpinan Anwar Ibrahim ini dalam diam-diam 'mengikat' semua wakil rakyatnya dengan surat tanpa tarikh ketika beliau keluar memburu para Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi menjayakan pelan 16 September yang tidak menjadi.

Pada 16 september orang ini berkata boleh melompat parti tetapi hari ini pula berkata tidak boleh melompat parti dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat?????

KENYATAAN BERSAMA DUA ADUN PKR


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu, ADUN Changkat Jering malam tadi mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan mereka tetap akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing.

Mereka juga menafikan telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ADUN seperti yang dilaporkan oleh media. "Sukacita kami ingin menjelaskan tiada sebab untuk kami meletakkan jawatan dan tiada sebarang surat dihantar kepada Speaker DUN Perak seperti dilaporkan.

Kata mereka penjelasan lanjut mengenai isu ini akan di buat melalui satu kenyataan akhbar esok (isnin).

~Agendadaily

Sunday, February 1, 2009

DUA ADUN PKR PERAK LETAK JAWATAN

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak."Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihanraya kecil akan diadakan tidak lama lagi.Menurutnya, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) esok/Pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Kedua-dua Adun PKR itu telah hilang sejak lima hari lalu, dan mencetuskan spekulasi bahawa mereka telah melompat menyertai Barisan Nasional.

~Malaysiakini

Persoalannya, dua Exco PKR itu belum ditemui, jadi siapa yang menyerahkan surat berkenaan. Difahamkan surat itu adalah surat 'aku janji' tidak lompat parti yang ditandatangani oleh semua ADUN PKR,PAS dan DAP sebelum dilantik pegang jawatan.

Adakah surat tersebut sah di sisi undang-undang?. Kita tunggu maklumbalas daripada pakar-pakar perundangan.

SELEPAS JAMALUDDIN DAN OSMAN TIMBALAN SPEAKER DUN PERAK PULA HILANG


Selepas `menghilang' Jamaluddin dan Osman, sekarang Timbalan Speaker DUN Perak Hee Yit Fong pula diberitakan `menghilang'.

Hee, 46, adalah ADUN DAP bagi Jelapang dikatakan akan menyertai MCA untuk menubuhkan kerajaan baru BN.

Mungkinkah MB Nizar akan membubarkan DUN untuk pilihan raya semula diadakan?. Sama-sama kita tunggu!!

PM SAHKAN KEMUNGKINAN LEBIH DUA ADUN PR LOMPAT KE BN


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi mengesahkan lebih daripada dua orang ADUN PR Perak akan menyertai BN. Perkara ini disahkan kepada para wartawan selepas majlis sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Sementara itu di Ipoh Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang akhbar, kerajaan negeri akan buat laporan polis mengenai kehilangan Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu selepas berbincang dengan keluarga mereka.

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT PERAK AKAN TUMBANG

Sejak beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.

Petang ini, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.

Memetik kenyataan PKR Perak kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.

Difahamkan PKR sudah mendapat maklumat bahawa kedua-duanya "berkemungkinan besar" bersetuju meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sumber-sumber parti itu memberitahu, BN paling cepat melalui Timbalan Perdana Menteri sendiri akan mengumumkan perkembangan mendebarkan ini esok.

Jika Jamaluddin dan Osman sah meninggalkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi - setelah mengambil kira penyertaan ADUN Bota.

BN buat masa sekarang menguasai 27 kerusi, sementara Pakatan Rakyat 32, termasuk lapan PKR dan 18 DAP. Ini bermakna BN hanya memerlukan satu lagi kerusi untuk membentuk kerajaan.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Semoga perkembangan ini akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ternyata gagal menjaga kepentingan orang melayu dan Islam.