**BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....


DAP.....PILIHAN BIJAK

LEE KUAN YEW.....BAGUS

Monday, March 23, 2009

LEMBAGA DISIPLIN JUGA ADALAH MANUSIA BIASA

Dua hari lepas saya berpeluang mengikuti perarakan sempena Maulidur Rasul yang telah diadakan di Padang Merdeka Port Dickson. Perarakan ini diketuai oleh Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Haji Mubarak bin Dohak.

Walaupun disediakan jamuan selepas perarakan tersebut, namun kerana sudah lama tidak `pekena’ mee jawa, saya terus ke kedai mee jawa yang agak terkenal di Port Dickson ini.

Secara kebetulan, apabila sampai di sana, sudah ada dua kumpulan iaitu aktivis wanita UMNO dan adik-adik puteri yang juga dari majlis yang sama tadi.

Kerana kebanyakkannya saya kenal, saya pun duduk semeja dengan mereka. Ada lebih kurang 12 orang semuanya. Perbualan sudah tentu kepada pemilihan di dalam UMNO yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Sudah tentu kisah Mohd Ali Rustam yang tidak dibenarkan bertanding menjadi topik hangat. Begitu juga cerita-cerita yang berlaku di dalam wanita, puteri dan kisah-kisah `anak menantu’ dan `anak bapak’ rancak di perkatakan. Dapatlah saya mendengar, apa sebenarnya luahan akar umbi parti berkenaan pertandingan kali ini khasnya peranan Lembaga Disiplin parti.

Daripada perbualan tersebut, beberapa kesimpulan dapat di buat, iaitu kebanyakkan akar umbi bersetuju Lembaga Disiplin sebenarnya gagal menguruskan persepsi dengan berkesan, malah mewujudkan lebih banyak persepsi negatif baru kepada parti.

Mereka membuat perbandingan, apabila TKM 1, Pulau Pinang, Fairus meletakkan jawatan, Anwar dan kepimpinan tertinggi PKR, cepat-cepat memberikan alasan yang Fairus meletakkan jawatan kerana ingin menyambung pengajian.

Mereka memberikan alasan yang tidak memburuk-burukkan Fairus, mereka tidak menceritakan apa yang berlaku di dalam `kelambu’ supaya tidak memberikan imej negatif kepada parti dan memalukan keseluruhan ahli parti.

Lembaga Disiplin pula di lihat seperti `tikus membaiki labu’. Akibatnya kami di akar umbi `merah telinga’ mendengar ejekan penyokong-penyokong PR yang telah disahkan sendiri oleh Lembaga Disiplin Parti.

Adakah tidak wujud cara lain yang lebih berkesan? Kenapa perlu dihebahkan kepada media? Bukankah dengan cara menghebahkan kepada media akan memburukkan lagi keadaan dan menambah persepsi negatif baru kepada parti? Perkara ini perlu difikirkan oleh kepimpinan tertinggi parti.

Persepsi adalah penting. Parti politik yang baik hendaklah menguruskan persepsi dengan cekap. Sekiranya perkara ini gagal dilakukan, maka imej parti akan tercalar dan kesannya akan di terima di dalam pilihanraya.Bukankah lebih baik setiap perkara yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin Parti di bawa kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Majlis Tertinggi.

Biar Majlis Tertinggi yang membuat keputusan, apakah bentuk hukuman yang perlu dikenakan bagi setiap kesalahan ahli Parti. Maksud saya tidak perlu terlalu ramai orang bercakap. Lebih ramai orang bercakap, akan lebih menyebabkan kecelaruan.

Selain daripada itu, setiap hukuman yang di kenakan mestilah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Penjelasan yang `separuh masak’ akan menyebabkan parti dilihat mengamalkan `double standard’.

Contohnya yang melibatkan Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Akar umbi memandang, Khairy Jamaluddin dilindungi walaupun pada pandangan saya, sekiranya Khairy dilindungi, sudah tentu dia tidak dituduh langsung.

Ada akar umbi berpendapat, perkara ini memang sengaja dibiarkan sebegitu bagi memberika imej buruk kepada Khairy. Betul ke?

Sekali lagi wujudnya persepsi bahawa Lembaga Disiplin adalah tidak bebas. Mereka juga adalah ahli-ahli parti, walaupun mereka tidak bertanding, itu tidak bermaksud mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dalam pemilihan parti.

Dengan erti kata lain, mereka juga mempunyai calon-calon pilihan mereka sendiri.

Agak pelik, Lembaga Disiplin yang ditubuhkan untuk mengendalikan kes-kes salah laku ahli dengan tujuan menjaga nama baik parti, di lihat begitu ghairah mendedahkan keburukan parti sendiri.

Fikir-fikirkanlah.

Sunday, March 22, 2009

KHAIRY DI FITNAH LAGI!

Khairy Jamaluddin, calon ketua Pergerakan Pemuda UMNO di fitnah lagi. Kali ini menerusi penerbitan sebuah buku yang bertajuk "Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin".

Buku yang ditulis dan diterbitkaan oleh Yahya Ismail tersebut dikatakan mempunyai unsur-unsur fitnah terhadap Khairy bagi memberikan imej buruk kepadanya di mata perwakilan.

Saya difahamkan buku tersebut sedang diedarkan secara meluas kepada perwakilan pemuda UMNO yang akan memilih Ketua mereka pada hari rabu ini.

Selain daripada itu Yahya Ismail juga telah mengugut Khairy dan meminta bayaran sebanyak RM100,000.00 agar buku tersebut tidak di cetak, di jual dan di edarkan kepada perwakilan pemuda UMNO.

Walaubagaimanapun Khairy menolak permintaan tersebut.

Menurut Khairy lagi, Yahya Ismail juga telah mengaku dia ditaja oleh musuh-musuh politiknya sendiri, yang berada di dalam UMNO dan beliau sebenarnya telah mengenalpasti dalang yang berada di belakang penerbitan buku tersebut.

Khairy menambah, perwakilan pemuda UMNO harus sedar, penulis buku tersebut sebenarnya tidak mempunyai kredibiliti kerana dia sebenarnya adalah seorang penulis upahan dan menulis buku tersebut sebagai ugutan untuk mendapatkan wang daripadanya.

Perwakilan juga harus sedar bahawa penulis tersebut sebenarnya bukan mencari kebenaran tetapi sebaliknya mencari keuntungan peribadi .

Oleh itu pada hari ini beliau membuat satu laporan polis berkenaan perkara tersebut di Balai Polis Brickfield, Kuala Lumpur.

Beginilah nasib seorang pejuang. Fitnah, cabaran dan dugaan telah menjadi asam garam di dalam hidupnya.

MUHAMMAD ATAU MUHYIDDIN : SIAPA PILIHAN PERWAKILAN?


Pada 26 Mac ini, teka-teki akan terjawab. Siapakah diantara dua Tan Sri ini akan menjadi pilihan perwakilan. Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Kalau sebelum ini Tan Sri Muhammad dilihat sebagai underdog, tetapi `tragedi' yang menimpa Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah memberikannya `durian runtuh.'

Di dalam politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Senario terkini menyukarkan lagi untuk membuat ramalan dengan tepat.

Penyokong Datuk Mohd Ali perlu membuat pilihan. Penyokong Tan Sri Muhyiddin terpaksa menerima kekurangan, manakala penyokong Tan Sri Muhammad bergembira dengan kelebihan yang datang dengan tiba-tiba.

Sekiranya perwakilan merasakan perlu seorang timbalan presiden dan timbalan perdana menteri yang setia, dan setuju dengan falsafah `tidak perlu dua ekor singa diatas satu puncak bukit', maka pilihlah Tan Sri Muhammad.

Tetapi sekiranya merasakan perlu yang agresif dan lebih kritis, maka pilihlah Tan Sri Muhyiddin.

Tepuk dada tanya iman.

Saturday, March 21, 2009

FAIRUS LETAK JAWATAN KERANA SAMBUNG BELAJAR? HA! HA! HA!

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Alasan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi PKR adalah kerana Fairus akan menyambung pelajaran.

Anwar! tolong cari alasan yang lebih munasabah. Kesian mak saya, ketawa berguling-berguling.

KHALID JUMPA ELI HARI INI

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan akan mengadakan pertemuan empat mata dengan ahli exco dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong hari ini.

Menurut akhbar Sin Chew, menteri besar dijangka mengeluarkan kenyataan mengenainya sebelum jam 4 petang esok.

Friday, March 20, 2009

RAYUAN ALI RUSTAM DITOLAK

Harapan Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno musnah apabila rayuannya ditolak oleh panel rayuan lembaga disiplin parti itu.

Panel tersebut yang bermesyuarat hari ini sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Mohd Ali untuk bertanding selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin yang mengumumkan perkara itu petang ini berkata keputusannya berkuatkuasa serta-merta.

TUN TAK PERLU KECAM ALI DAN MOHD TAIB

Tun hari ini mengeluarkan kenyataan supaya Lembaga Disiplin tidak mempedulikan rayuan yang dibuat oleh Mohd Ali Rustam. Beliau juga meminta supaya Mohd Ali melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Selain daripada itu Tun juga mengeluarkan kenyataan menghina Mohd Taib sebagai seorang yang tidak boleh membaca dan bercakap Bahasa Inggeris sehingga membuat kesalahan di Australia.

Kenapa Tun begitu lantang?. Tidak cukup lunyai lagikah parti kesayangan orang melayu ini?

Tun juga menyatakan sokongan terbuka kepada Muhyiddin. Apa tujuannya?

Saya tidak mahu mempertikaikan Muhyiddin. Dia adalah pemimpin UMNO yang harus dihormati. Tetapi siapa Tun untuk mengajar perwakilan memilih calon itu dan calon ini.

Tun harus sedar, dia tiada kena-mengena lagi dengan UMNO, Beliau bukan lagi pemimpin atau ahli UMNO. Cukuplah apa yang Tun telah lakukan kepada UMNO selama ini.

Jangan dipecahbelahkan lagi UMNO dengan melaga-lagakan pemimpinnya. Ahli UMNO sudah bosan dengan permainan politik Tun.

Tidak sedarkah Tun, apabila Tun turun dari takhta UMNO, rakyat meraikannya dengan memberikan kemenangan besar kepada BN, tetapi Tun tidak puas hati. Tun kata kemenangan besar tersebut tidak baik untuk kerajaan.

Pada PRU-12, Tun menyerang BN habis-habisan, Segala pembaharuan yang dilakukan Pak Lah, Tun perlekehkan. UMNO Tun telanjangkan. Kenyataann-kenyataan Tun telah digunakan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Tun sengaja mengaitkan budak tingkat 4 yang begitu `berkuasa’ keatas kerajaan. Tun ingin menjatuhkan Khairy. Persoalannya kenapa?

Sekarang jelas, Tun sebenarnya ingin menjadikan anak Tun sebagai Ketua Pemuda UMNO. Tun berhajat melihat anak Tun meneruskan kesinambungan kuasa.

Rakyat dan ahli UMNO tidak boleh ditipu selamanya. Bila sampai masanya mereka akan bangkit. Mereka telah muak berada dibawah kepimpinan Tun selama 22 tahun. Rakyat tidak sanggup lagi menanggung beban yang telah ditinggalkan oleh Tun.

Kenapa Tun sanggup menggadaikan rakyat? Berapa lama lagi rakyat dipaksa untuk membayar tol?

Sedarkah Tun, sudah berapa lama kerajaan pimpinan Pak Lah terpaksa berkerja keras menguruskan masalah yang ditinggalkan Tun.

Sekarang ini pula Tun dengan muka tak malu ingin mengajar perwakilan memilih calon-calon kegemaran Tun. Orang melayu sudah cukup bersabar dengan Tun. Jangan sampai satu lagi parti serpihan UMNO ditubuhkan kerana Tun.

Perwakilan UMNO yang terdiri dari generasi millennium, bukannya bodoh lagi, mereka menyedari apa yang sedang berlaku di dalam parti.

Oleh itu mereka berhak memilih pemimpin yang mereka suka.

Thursday, March 19, 2009

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAMAT AWAL

Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac ini dijadualkan tamat lebih awal bagi membolehkan anggota parti membuat persiapan bagi penamaan calon tiga pilihan raya kecil keesokkan harinya. Setiausaha Kerja Umno Brig Jen (B), Datuk Husainay Hashim, berkata perhimpunan agung yang kebiasaannya tamat pada sebelah petang akan tamat pada tengah hari 28 Mac bagi membolehkan anggota parti pergi ke kawasan pilihan raya kecil terbabit.

"Perhimpunan akan tamat selepas Presiden parti menggulung perbahasan. Kita jangka semuanya akan selesai sekitar pukul 1 tengah hari," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas perjalanan perhimpunan parti itu pada 24 hingga 28 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Wednesday, March 18, 2009

SIASAT SEMUA CALON UMNO ~ HISHAMMUDIN

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Lembaga Disiplin Umno perlu menyiasat semua calon yang bertanding pada pemilihan parti minggu depan, bukan memilih calon tertentu untuk disiasat.

Hishammuddin yang akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan itu berkata, beliau sendiri sanggup disiasat Lembaga Disiplin Umno jika ada laporan terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas menghadiri mesyuarat pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang dilarang bertanding atau dipilih bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan selepas didapati bersalah melanggar etika pemilihan parti.

~Berita Harian online

TIADA "DOUBLE STANDARD"

Oleh :Adham Musa

Apa juga keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO diterima dengan hati yang terbuka oleh Khairy Jamaluddin. Walaupun beliau mempunyai alasan tersendiri tetapi demi menghormati parti beliau akur dengan apa yang telah diputuskan.

Bukan mudah untuk menjadi seorang politikus, bukan mudah untuk berjuang demi bangsa dan negara. Jika ianya sesuatu yang mudah pasti semua orang kini sudah menjadi pemimpin.

Khairy adalah merupakan salah seorang politikus yang banyak menempuh dugaan dan mengharungi banyak rintangan untuk terus berada di landasan perjuangan, namun harapan ramai penyokong Khairy agar Khairy terus berjuang dan anggaplah ini sebagai satu wadah perjuangan yang pahit yang perlu ditempuhi oleh semua pejuang .

Inilah sikap bangsa kita yang tidak boleh melihat ada orang lain yang lebih baik dan mampu memimpin.

Sebagai menantu kepada Perdana Menteri, Khairy sering dilemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berpihak kepada beliau walaupun beliau cuba lari dari bayangan bapa mertuanya.

Khairy yang selama ini membentangkan segala yang dimilikinya dan bukan berpayung kepada bapa mertuanya, namun beliau tetap menerima tempias dan tuduhan yang sememangnya sengaja dilakukan oleh mereka yang mahu melihat anak muda ini tumbang dalam arena politik tanah air.
Keputusan lembaga disiplin hari ini, yang tidak dipengaruhi oleh Pak Lah dan tidak ada campur tangan Pak Lah telah menjadi bualan ramai dan menjadi topik hangat. Kenapa Khairy hanya diberikan amaran sedangkan Ali Rustam tidak dibenarkan bertanding sedangkan kedua-duanya didapati bersalah.

Kata mereka ada double standard. Pak Lah mempengaruhi keputusan ini. Secara logiknya mengapa Pak Lah mahu mempengaruhi keputusan ini pada tahap ini, jika Pak Lah mahu mempengaruhi keputusan ini adalah lagi baik dari peringkat awal dan Kahiry tidak dituduh langsung.

Kesalahan Ali Rustam : Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO. Ramai yang tidak tahu ada perbezaan di sini. Orang ketiga Ali Rustam adalah setiausaha politik beliau manakala orang ketiga Khairy Jamaluddin adalah seorang yang langsung tidak ada kaitan dengan beliau.

Kemungkinan orang ketiga Khairy Jamaluddin hanya tampil untuk sesuatu niat.

ADAKAH MOHD ALI DIANIAYA?

Adakah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dianiaya oleh pihak-pihak tertentu? Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen apabila diajukan soalan itu, menjawab, "Saya tidak boleh menjawab soalan itu. Hanya Tuhan yang tahu.

"Apabila diajukan soalan sama ada keputusan itu adil atau tidak dan sama ada beliau menghadapi desakan daripada pihak-pihak tertentu, Rithaudeen menjawab: "Kami adalah entiti yang bebas dan tidak ada seorangpun harus kacau dan campurtangan urusan kami.

Sama ada keputusan yang kami buat itu adil atau tidak, terpulang. Kami mesti telus dan terperinci dalam melakukan siasatan.

"Kami akan siasat setiap aduan yang diterima, tanpa mengira dari sesiapa atau mengenai sesiapa," tegasnya.

Beliau berkata, jawatankuasa telah memanggil semua orang yang dituduh, termasuk Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika menjalankan siasatan berhubung aduan rasuah.

Sidang media yang berlangsung hari ini agak panas apabila wartawan berebut-rebut mengajukan soalan.

Wartawan bertalu-talu bertanyakan mengenai hukuman berbeza yang dikenakan terhadap Mohd Ali Rustam dan calon Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin walaupun kesalahan mereka adalah sama.

Rithaudeen berulangkali menjelaskan Mohd Ali dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas ejen-ejennya didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik dan Mohd Ali dilihat mempunyai kaitan secara langsung di atas kesalahan ejen-ejennya, berbanding Khairi yang didapati tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan tindakan ejen-ejennya.

"Kami telah menyoalsiasat ejen-ejennya, termasuk Setiausaha Politiknya Haji Saadun dan mendapati beliau serta beberapa ejen lain bersalah melakukan rasuah dan sogokan wang," katanya dengan menambah kesalahan itu dilakukan sebelum dan selepas penamaan calon Perhimpunan Agung UMNO. ~ Agendadaily

Saya tidak mempunyai latar belakang perundangan tetapi saya keliru dengan peraturan ini. Adakah boleh kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tetapi dipertanggungjawab kepada orang lain?

Bolehkah kalau kawan saya melakukan kesalahan, tetapi saya dipertanggungjawabkan kerana dia kawan saya?

Lagi sekali saya tegaskan, peraturan ini mendedahkan calon-calon kepada fitnah.

Pada pandangan saya, sekiranya ajen-ajen yang melakukan kesalahan, cukuplah hukuman dikenakan kepada ajen-ajen tersebut tanpa mengaitkan calon kerana kemungkinan mereka melakukannya diatas kapasiti diri mereka sendiri.

MOHD ALI RUSTAM AKAN KEMUKA RAYUAN HARI INI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarangnya bertanding jawatan timbalan presiden minggu depan.

Beliau bagaimanapun menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mengemukakan rayuan hari ini.

Mohd Ali turut memohon maaf kepada para penyokongnya dan meminta mereka supaya bertenang dan bersatu demi perpaduan parti.

Walaupun dilarang bertanding, beliau akan menghadiri perhimpunan agung Umno dan terus bekerja untuk kebaikan Umno.

Lembaga Disiplin semalam memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil. Manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian yang sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Persoalannya adakah kesalahan yang dilakukan oleh ajen-ejen tersebut berada di bawah kawalan beliau?

Bukankah peraturan sebegini mendedahkan calon kepada fitnah?

Sama-sama kita fikirkan.

Tuesday, March 17, 2009

ADA AGENDA UNTUK MENGHALANG SAYA ~ KHAIRY JAMALUDDIN

Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno walaupun sebenarnya dia tidak bersalah.

Khairy mendakwa terdapat agenda untuk menghalangnya daripada bertanding jawatan ketua Pemuda Umno hujung bulan ini.

"Saya tahu terdapat agenda tersebut, tetapi saya tidak tahu siapa yang bertanggungjawab dan mengapa mereka berbuat demikian."

"Saya tetap tidak bersalah," tambahnya.

Menurutnya, beliau telah memberikan penjelasan kepada lembaga disiplin. Walaubagaimanapun, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh lembaga tersebut.

Benarkah agenda sebenar mereka ini adalah untuk menghapuskan semua penyokong Pak Lah di dalam UMNO?. Dan agendanya telah bermula dengan Norza, Azalina dan hari ini Mohd Ali dan Khairy Jamaluddin.

Sekiranya benar, ini adalah satu lagi episod malang di dalam UMNO.

ADAKAH KHAIRY JAMALUDDIN MENJADI MANGSA FITNAH?

KHAIRY JAMALUDDIN di dapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO mengikut perkara 10.1 Tata Etika UMNO. Beliau tidak dihalang daripada bertanding, cuma diberikan amaran. Kita semua perlu akur dengan keputusan ini. Tidak ada kompromi berkenaan politik wang.
Saya juga tidak berniat untuk mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin ini. Tetapi beberapa SMS yang saya terima mengatakan ada perkara yang tidak kena dengan keputusan terhadap Khairy Jamaluddin dan Datuk Mohd Ali Rustam.

Mengikut SMS tersebut, keputusan ini dibuat kerana campurtangan `tangan-tangan ghaib' yang masih `berkuasa' di dalam parti bagi memastikan calon-calon pilihannya sahaja yang akan memenangi pertandingan kali ini.

Walaubagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan perkara ini. kita tunggu ulasan yang akan diberikan oleh Datuk Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin.

MOHD ALI RUSTAM ~ PERKEMBANGAN TERKINI

5.16 ptg- Datuk Mohd Ali Rustam kekal sebagai Ketua Menteri Melaka walaupun di dapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri.~BERNAMA SMS

4.22 ptg-Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan timbalan
presiden Umno dalam pemilihan parti hujung bulan ini.
1.15 ptg- Semakin hampir sidang media Lembaga Disiplin UMNO semakin panas cerita pasal Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Palin
g terbaru, khabarnya Ketua Menteri Melaka itu akan menarik diri.

Jika itu keputusannya, bermakna beliau akan terus menerajui Perhubungan UMNO negeri. Statusnya sebagai perwakilan juga dikatakan kekal dan layak mengundi pada pemilihan parti nanti ~ Agendadaily

11.30 pagi- Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Melaka sebentar tadi,DS Ali Rustam kata tunggulah pengumuman Lembaga Disiplin UMNO petang ini. Beliau kelihatan relaks saja.

Katanya beliau akan ke Ipoh petang ini hadiri majlis pengenalan calon-calon dengan perwakilan Perak. Menyentuh tentang mesyuarat perhubungan itu, katanya ia mesyuarat biasa bincang persiapan menjelang perhimpunan agung parti. ~ Agendadaily

KHALID HANYA MELEPASKAN BATUK DITANGGA

Seperti yang diketahui, Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor telah membuat pengisytiharan harta kepada umum. Walaubagaimanapun rakyat melihatnya hanya seperti melepaskan batuk ditangga. Masih banyak persoalan yang belum terjawab.

Seperti yang kita fahami pengisytiharan harta mestilah meliputi kenderaan, hartanah dan saham yang dimiliki termasuk harta yang dimiliki oleh pasangan dan anak-anak juga wajib diisytiharkan.

Tetapi Khalid nampaknya mengisytiharkan `separuh-separuh' sahaja.

Paling jelas, beliau pernah mengatakan Lexus yang digunakan sebagai kereta rasmi dibelinya secara tunai. Kereta tersebut bukannya 10 ribu, bukannya 100 ribu tapi hampir 1 juta. Kalau kereta itu dia yang punya, kenapa tidak diisytiharkan?

Selain daripada itu Khalid juga tidak mengisytiharkan banglonya di Damansara. Adakah beliau mempunyai sebuah rumah sahaja? Ada orang mengatakan dia mempunyai lebih dari sebuah rumah.

Syarikat perniagaan, satu dunia pun tahu Khalid adalah seorang ahli korporat. Khalid dikatakan rapat dengan peniaga-peniaga timur tengah yang juga kenalan rapat Anwar. Khalid juga dikatakan pernah menjadi pengurus dana beberapa syarikat besar. Mestilah syarikat-syarikat tersebut membuat keuntungan. Kenapa Khalid tidak mengisytiharkannya?

Kesimpulannya, Khalid masih berhutang dengan rakyat. Cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap.

Di olah dari www.warisan2057.blogspot.com

KARPAL DI TUDUH MENGHASUT

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini berhubung ancamannya untuk menyaman Sultan Perak ekoran krisis politik di negeri tersebut.

Karpal didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 6 Februari, dari jam 12 tengahari hingga 12.30 tengahari, di pejabat firma guamannya di Jalan Pudu Ulu di Kuala Lumpur.

Karpal mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat. Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan berdepan dengan hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-keduanya.

Kesalahan seterusnya boleh dikenakan hukuman penjara maksima lima tahun.

Menurut SMS BERNAMA Karpal tiba di mahkamah pada kira-kira jam 9.20 pagi bersama anggota keluarganya. Mahkamah mula bersidang jam 10.24 pagi.

Turut kelihatan memberi sokongan ialah pemimpin DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir.

SIAPA YANG KENA AKAN TERJAWAB 4 PETANG INI

Desas desus yang bertiup kencang menyebabkan ramai yang hadir pada majlis pengenalan calon dengan para perwakilan UMNO Selangor di Shah Alam malam tadi lebih tertumpu kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Sama ada betul ataupun tidak, belum dapat dipastikan lagi. Tetapi sejak beberapa hari ini namanya sudah hangat diperbualkan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO yang bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didakwa melanggar etika berkempen.

Jika desas-desus itu benar, beliau dikatakan akan hilang kelayakan untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi dalam parti. Ada juga desas desus beliau mungkin akan menarik diri dari bertanding.

Namun sepanjang majlis yang bermula pada jam 8 malam hingga berakhir sekitar jam 10.30 malam, beliau kelihatan mesra bertegur sapa dengan para perwakilan serta mereka yang hadir di majlis itu.

Ketika ditemui oleh para wartawan sebelum majlis bermula untuk mengulas desas desus mengenai dirinya itu, beliau dengan ringkas berkata, “Itu kena tanya Lembaga Disiplin.”

Dijolok pula dengan soalan apakah beliau bimbang dengan desas desus itu, Ali berkata, “Kenapa saya perlu bimbang?”.

Oleh itu kita sebagai ahli yang setia kepada parti harus menerima apa saja keputusan Lembaga Disiplin parti. Politik wang tidak boleh dimaafkan, ianya mesti dihapuskan sama sekali.

Jadi bersedialah kita menerimanya walaupun calon tersebut adalah `idola' kita.

Monday, March 16, 2009

ITULAH SEBENARNYA KHAIRY JAMALUDDIN


KHAIRY JAMALUDDIN boleh dilihat sebagai `popular’ dengan menghentam parti dan kerajaan yang di dokongnya. Beliau juga boleh untuk di lihat sebagai `hero' dengan menuding jari kepada pemimpin lain setiap kali parti dan kerajaan menghadapi masalah.

Selain daripada itu beliau juga boleh menulis surat kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau menteri-menteri yang lain menuntut ketidakpuasan hati, itu dan ini bagi meraih populariti.

Tetapi beliau lebih rela, mengambil pendekatan tidak `populis' dengan mempertahankan parti dan kerajaan pada setiap masa.

Sebab itulah di dalam program `Hujah’ tempoh hari, beliau di lihat tidak popular dengan mendapat tepukan hanya sekali, itupun bercampur ejekan.

Memanglah, perkara yang paling menarik di dalam politik adalah dengan membangkang. Lebih-lebih lagi sekiranya disulami dengan cacian dan fitnah. Sebab itulah ceramah `Mat Sabu' sentiasa dipenuhi pengunjung.

Persoalannya kenapa Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan tersebut?

Sebenarnya tanpa kita sedari, beliau telah menjadi lilin, mengenepikan kepentingan peribadi dengan mempertahankan parti dan kerajaan pada setiap masa.

Beliau rela di lihat tidak popular kerana menjalankan tanggungjawabnya.Sekiranya tiada Khairy Jamaluddin pada malam `Hujah’ tersebut berlangsung, UMNO dan kerajaan langsung tidak dipertahankan.

Beliau sedar dimana beliau berada. Beliau tahu menghormati pemimpin lain, tahu menghormati yang lebih tua dan beliau memahami apakah ertinya institusi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Sebab itulah beliau tidak mengambil jalan mudah untuk meraih populariti.

Oleh itu saya menyeru kepada semua perwakilan yang berada diluar sana supaya mempertimbangkan dengan fikiran yang waras sebelum membuat pilihan.

Berpijaklah di bumi yang nyata tanpa dipengaruhi persepsi semata-mata.

Memang menjadi hak perwakilan untuk memilih sesiapa yang mereka suka tetapi pilihlah pemimpin yang tahu di mana diri mereka berada, parti mana yang mereka wakili dan parti mana yang menyebabkan mereka menjadi pemimpin sekarang ini.

Salam Setiakawan.

BUDAYA POLITIK BARU ELIZABETH WONG DIPERSIA-SIAKAN

Keputusan kedudukan Elizabeth Wong ditangguhkan lagi. Berbagai alasan diberikan oleh Khalid Ibrahim berkenaan perkara tersebut.

Inilah `belang' sebenar pemimpin Pakatan Rakyat. Bila terkena batang hidung sendiri berbagai alasan akan diberikan.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan moral Elizabeth Wong tetapi budaya politik baru yang ingin dibawanya harus dihormati. Beliau tidak mengikut tauladan `ketua-ketuanya'. Apabila beliau merasa bersalah, beliau berani meletakkan jawatan.

Budaya politik sebeginilah sepatutnya mewarnai politik Malaysia selepas ini.

Sunday, March 15, 2009

JANGAN BURUKKAN KAWAN-KAWAN ~ KJ

Mukadimah

‘‘Jangan burukkan kawan-kawan’’ Itulah pesanan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada jentera yang membantu beliau berkempen merebut jawatan Ketua Pemuda.

Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal menyaksikan persaingan antara beliau dengan dua lagi calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membawa perpecahan kepada Pemuda.

Bagi Khairy dalam keghairahan untuk memenangkan calon masing-masing semangat setiakawan dalam Pemuda harus dikekalkan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, beliau yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda secara terbuka menjawab pelbagai persoalan berkaitan dirinya dan perebutan jawatan dalam Pemuda.

Apapun beliau amat berharap perwakilan akan membuat keputusan berasaskan kepada realiti dan bukannya persepsi terhadap seseorang calon. Khairy juga turut memaparkan apa yang ingin beliau lakukan dalam usaha merapatkan hubungan Pemuda dengan rakyat.

MINGGUAN: Bagaimana penerimaan perwakilan, ketika YB berkempen?

KHAIRY: Alhamdulillah, maklum balas dan sokongan yang diterima terhadap gagasan setiakawan daripada perwakilan sangat positif dan saya harap akan diterjemahkan kepada undi pada 25 Mac nanti.

Kempen dalam Pemuda kali ini turut menyaksikan peribadi YB diserang sekali lagi, apa pandangan YB?

KHAIRY: Saya berpendapat, faktor paling besar yang menyemarakkan perbincangan dan tuduhan terhadap saya selama ini ialah “isu menantu”. Tuduhan utama ialah karier saya dipercepatkan kerana saya menantu Perdana Menteri. Bahaslah apa pun. Persepsi bahawa laluan saya dipermudahkan cepat merebak. Apakah salah dan dosa saya, sebenarnya kerana menjadi menantu? Jodoh, ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Tetapi yang pasti isu menantu ini akan hilang dengan sendirinya apabila Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas itu berlaku, saya tidak akan dilihat sebagai seorang yang dibayangi oleh isu ini dan tidak boleh dipersalahkan lagi atas segala yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

Tetapi apakah semua persepsi itu betul?

KHAIRY: Tidak. Saya menjadi sasaran mudah umpama kambing hitam. Kita mesti akui setiap pemimpin apatah lagi Perdana Menteri mempunyai ramai pengkritik. Mereka ini akan cari sasaran mudah untuk menyerang, memandangkan saya menantu Perdana Menteri dan kebetulan pula terlibat dalam politik, segala permasalahan pentadbiran negara dikatakan berpunca daripada KJ.

Persepsi ini menjadi mengarut sampai harga minyak naik pun saya disalahkan. Pemilihan calon-calon pilihan raya pun salah saya juga. Semua tuduhan ini bersifat sensasi, umpama menjelmakan insan kerdil seperti Khairy Jamaluddin menjadi punca segalanya. Sampai hari ini apabila saya mencabar mereka yang menuduh saya untuk kemukakan bukti, mereka gagal. Jadi saya percaya, semua itu adalah agenda politik untuk melemahkan Perdana Menteri dan menguburkan kerjaya politik saya.

Bagaimanapun saya pasrah dan reda dengan dugaan ini dan berharap perwakilan yang berjumpa saya mengenali KJ sebenarnya dan boleh memisahkan antara realiti dan persepsi.

Difahamkan YB sekali lagi akan menjadi sasaran penulis-penulis buku politik?

KHAIRY: Secara peribadi dan prinsipnya, saya menghormati hak setiap orang mengkritik, menegur, menyokong atau menyatakan beliau tidak gemar pemimpin tertentu. Cuma kalau boleh elakkan perbuatan mencerca dan menghindari perkataan yang terlalu kesat. Ini kerana, apapun perbezaan pandangan, jangan kita meletakkan tahap kita serendah mereka yang dijelaskan oleh Rasulullah umpama memakan daging saudaranya sendiri.

Saya harap perwakilan tidak dipengaruhi oleh buku-buku politik yang jelas berat sebelah dan menyerang calon-calon secara peribadi. Mereka sudah ada masa yang agak lama untuk menilai setiap calon. Penilaian yang dibuat secara langsung in person adalah lebih sahih daripada cerita dalam sesetengah buku-buku politik yang berniat menjatuhkan pemimpin.

Apa masalah utama yang harus diselesaikan oleh seorang Ketua Pemuda?

KHAIRY: Masalah utama berhubung kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah cabaran utama Pemuda UMNO.

Dalam hal ini, saya akan mantapkan lagi gerak kerja Pemuda dalam dua aspek. Pertama, dari segi latihan dan pendidikan politik. Ia bertujuan memperkuatkan jati diri ahli dan merakyatkan Pemuda. Maksudnya, dalam setiap tindakan Pemuda selepas ini akan membawa kesan positif kepada rakyat kerana Pemuda harus dilihat sebagai pembela nasib rakyat.

Perkara kedua, mengembalikan peranan aktivis dalam Pemuda. Saya akan menubuhkan kor penceramah dan imam muda iaitu lima penceramah dan lima imam muda dari setiap bahagian. Mereka akan menjadi aktivis kita di peringkat akar umbi dan memastikan dalam dua aspek yang mungkin kita nampak ada sedikit kelemahan iaitu penyampaian maklumat dan aktiviti keagamaan.

Saya juga akan menubuhkan unit penyampai maklumat yang akan menggunakan teknologi terkini bagi memastikan setiap ahli dan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat dan keputusan terkini yang dibuat oleh pemimpin. Ini termasuk unit perang siber yang lebih agresif melalui kaedah seperti blog dan juga portal rangkaian sosial seperti Facebook dan MySpace yang begitu popular di kalangan generasi muda. Maklumat yang kita sampaikan mesti terkini, tepat dan padat. Barulah ahli kita memahami bagaimana nak berdepan dengan sesuatu isu di kawasan masing-masing.

Tetapi dikalangan Pergerakan Pemuda sendiri dikatakan berlaku jurang antara ahli dengan pemimpin?

KHAIRY : Sebab itulah saya ingin membawa pendekatan mengakar umbikan kepimpinan Pemuda. Yang pertama, saya akan pastikan mesyuarat exco Pemuda dibuat di setiap negeri. Ini akan memperlihatkan pemimpin Pemuda turun ke bawah dan sentiasa bersama ahli-ahli. Saya juga berharap mesyuarat Pemuda negeri juga akan dibuat di setiap bahagian dan bukan di ibu negeri sahaja.

Saya juga akan hidupkan kembali program Pemuda masuk kampong supaya Pemuda dilihat bersama dengan masyarakat setempat. Kita perlu kikis imej Pemuda UMNO sebagai satu institusi yang dilihat elit melalui langkah turun kebawah bersama rakyat.Saya bercadang untuk sentiasa bergerak kebahagian-bahagian untuk memahami masalah rakyat secara langsung tempat bergantung kepada laporan ibu pejabat.Kita perlu kepada kepimpinan yang hands on dalam keadaan politik hari ini.Bagi menaikan martabat Pemuda diakar umbi, saya mencadangkan satu pindaan kepada Perlembagaan parti bagi membolehkan ketua-ketua Pemuda cawangan menjadi perwakilan secara automatic kepada mesyuarat perwakilan bahagian. Ini akan mengurangkan jurang antara Pemuda cawangan dan bahagian induk dan memberi suara kepada Pemuda diperingkat akar umbi. Ia juga merupakan harapan ahli akar umbi yang rasa diri mereka tidak dibela kerana tiada kuasa politik.

Ramai generasi muda terjejas akibat kegawatan ekonomi, apa visi YB dalam hal ini?

KHAIRY : Bagi saya, yang penting adalah kita dapat menjanakan ekonomi di peringkat akar umbi. Saya akan bekerja kuat dalam memantau agensi-agensi kerajaan agar pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion yang baru diumumkan sampai ke golongan muda supaya mereka ini mendapat pekerjaan, memperolehi modal pinjaman serta peluang bagi menjana ekonomi. Banyak masaalah yang dihadapi dalam ekonomi hari ini adalah disebabkan oleh birokrasi dan kerenah institusi kewangan dan jabatan kerajaan. Perkara ini perlu perhatian dan antara tugas Pemuda adalah memudahkan generasi muda mendapat akses kepada kemudahan dan peluang ekonomi yang disediakan oleh kerajaan.

Jika dilantik sebagai Ketua Pemuda salah satu tanggung jawab saya adalah menjaga kebajikan orang muda. Dan saya akan pastikan Pemuda bukan hanya memainkan peranan sebagai pendesak tetapi juga pemudah cara untuk memastikan pemerkasaan ekonomi orang muda di peringkat akar umbi berjalan dengan baik. Isu utama bagi saya adalah pengangguran dan peluang untuk memulakan perniagaan bagi generasi muda.

Antara tiga kelompok yang saya telah kenal pasti dan memerlukan perhatian iaitu generasi ke dua bagi Felda dan Felcra, generasi kedua dari kampong-kampung tradisi dan golongan muda yang berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah di Bandar. Jika Pemuda dilihat mengambil berat masaalah ekonomi mereka dengan inisiatif menarik, saya percaya kita dapat mengembalikan keyakinan mereka terhadap gagasan politik yang dibawa oleh UMNO.

Institusi Melayu nampaknya semakin diprkotak-katikan, apakah komen YB?

KHAIRY : Saya cukup sensitive terhadap satu konspirasi yang seolah-olah mahu memperkotak-katikan institusi asas negara iaitu institusi raja-raja Melayu dan juga kontrak sosial yang telah dimeterai oleh semua kaum.

Saya percaya pemuda harus berada di barisan hadapan mempertahankan institusi ini, malah saya sendiri secara lantang bersuara bagi memastikan bangsa dan institusi raja-raja tidak diperlekehkan. Bila Pemuda disifatkan sebagai ‘celaka’, rasanya sayalah antara yang paling awal tampil mencabar orang itu mengeluarkan bukti yang Pemuda UMNO ada mengirimkan peluru hidup pada beliau. Apabila kemuliaan institusi Raja Raja Melayu dipersendakan saya tampil mempertahankannya. Saya meramalkan serangan terhadap bangsa dan institusi Melayu bukan dengan cara intelek, kewarasan dan hikmah.

Pemuda UMNO perlu tewaskan mereka yang memperlekehkan kita dengan akal dan ketajaman pemikiran. Saya bersedia berdepan dengaan mana-mana pihak termasuk pembangkang demi mempertahankan maruah bangsa dan negara. Sekarang sudah tiba masa kita berdepan secara terbuka dengan musuh-musuh kita dan Pemuda perlu kepimpinan yang bukan hanya berani tetapi juga mampu mengatasi serangan tersebut dalam medan politik.

Jika dilihat dari segi umur, YB adalah yang termuda, apakah ia akan memainkan peranan dalam pemilihan?

KHAIRY : Saya rasa faktor umur penting kerana hanya orang muda dapat memahami jiwa orang muda. Sebagai seorang calon yang masih dalam umur Pemuda, sudah pasti visi saya adalah untuk Pemuda dan bersifat jangka panjang. Saya tidak melihat jawatan Ketua Pemuda sebagai batu loncatan. Kalau nak singgah untuk sepenggal, kita takkan dapat membawa pembaharuan berkekalan. Saya menawarkan diri sebagai calon yang mempunyai wawasan jangka masa panjang untuk Pemuda.

Itulah sebabnya, mengapa saya memilih slogan setiakawan supaya saya dapat menubuhkan satu rangkaian yang seangkatan dengan saya dan akan terus maju bersama dalam politik.

Begitu juga apabila saya lebih senang bergerak dipanggil KJ. Pangilan KJ memudahkan saya bergerak tanpa protokol tertentu dan bagi mendekatkan diri dengan pemuda. Bagi saya, ahli Pemuda dan semua golongan muda perlu diyakini bahawa mereka mempunyai akses kepada pemimpin mereka. Inilah pegangan saya.

Dua lagi calon tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet, jika mereka dipilih sebagai Ketua Pemuda?

KHAIRY : Saya menghormati keputusan kedua-dua sahabat saya itu. Bagaimanapun soal pelantikan sebagai angota pentabiran adalah hak mutlak Perdana Menteri. Tetapi jika Ketua Pemuda dilantik, saya melihat ini sebagai satu penghormatan kepada orang muda dan member ruang kepada Ketua Pemuda menterjemahkan inspirasi dan wawasan Pemuda UMNO dan juga kepentingan golongan muda di dalam Kerajaan.

Apa harapan YB berkaitan peralihan kuasa yang akan berlangsung tidak lama lagi?

KHAIRY : Saya yakin proses peralihan kuasa akan berjalan lancar kerana ia melibatkan dua pemimpin berjiwa besar. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bakal Perdana Menteri dan Presiden UMNO walaupun beliau mengambil alih dari seorang pemimpin yang juga bapa mertua saya. Saya berikrar untuk memberi sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada najib.

Satu nasihat penting yang Pak Lah berikan kepada saya, kita perlu menjadi orang parti yang kuat. Contohnya, pada team B kalah… Pak Lah tidak keluar dari UMNO walaupun dipecat dari jawatan kabinet. Di situ beliau membuktikan kesetiaannya kepada parti. Jadi, bagi saya yang diajar untuk menjadi orang kuat parti UMNO, saya akan terus memberi komitmen kepada kepimpinan parti. Saya juga percaya bahawa Najib is the right man at the right time. Beliau adalah seorang pemimpin yang diangkat tepat pada masanya.

Akhir kata jika ditakdirkan YB kalah. Apakah YB akan terus menyumbang pada parti?

KHAIRY : Saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Rembau atas tiket UMNO-BN. UMNO adalah wadah perjuangan bagi saya. Saya tidak sekali-kali akan kecewa dengan UMNO. Kalau saya menang pula, pertama sekali saya harus rapatkan barisan dan beri keyakinan kepada penyokong-penyokong Mukhriz dan Mohamad Khir bahawa saya bersama mereka sejajar dengan tema dan falsafah kempen ‘setiakawan’.Saya tidak sama sekali akan mengenepikan Mukhriz dan Mohamad Khir, sebagai contoh; kalau berlaku satu pilihanraya kecil di Selangor, kita sangat memerlukan peranan dan sumbangan Mohamad Khir manakala Mukhriz pula mempunyai idea-idea yang boleh disumbangkan untuk Pemuda.

Adalah menjadi tanggung jawab saya menyatukan kesemua elemen dan ahli dalam pemuda.

Komen saya: Di saat beliau di serang dan difitnah, beliau masih berpesan kepada jentera kempennya supaya tidak memburukkan kawan-kawan. Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal berlangsung membawa perpecahan kepada Pemuda.

Beginilah seorang pemimpin yang berjiwa besar. Beliau sanggup mengenepikan kepentingan peribadi bagi menjamin partinya terus gagah dan perkasa.

TUGU SIDANG DUN BAWAH POKOK DI ROBOH

Selaras dengan notis 24 jam yang dikeluarkan keatas binaan yang tidak ada permit, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah merobohkan plak peringatan ’Pokok Demokrasi’ yang dibina oleh pembangkang di Medan Istana untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak di lokasi sidang itu adalah mengikut undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.

“Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya .-

PENDAPATAN MB SELANGOR RM47,222.00 SEBULAN

Setelah dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akhirnya Menteri Besar Selangor dan anggota exconya telah mengisytiharkan pendapatan dan aset masing-masing.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai pendapatan RM47,222.00 sebulan termasuk elaun tetap.

Pendapatan tersebut adalah berdasarkan gaji sebanyak RM11,715.00 dan elaun sebanyak RM35,507.00.

Sementara itu Teresa Kok adalah antara exco kerajaan negeri yang mendapat pendapatan paling tinggi iaitu RM32,830.67 sebulan termasuk elaun.

Perisytiharan ini boleh diakses melalui www.selangor.gov.my.

Saturday, March 14, 2009

JANGAN KETAWAKAN BANGSA ARAB, ORANG MELAYU APA KURANGNYA...

Oleh: BIDIN BESERI SAAD

SELAMA ini kita selalu memperlekehkan bangsa Arab. Malah sejak kecil lagi kita kerap dengar kata-kata "Kiamatlah dunia kalau bangsa Arab bersatu!".

Sekarang dalam skop lebih kecil kita menyindir pula bangsa Palestin yang tidak pernah bersatu menentang Israel. Macam mana Palestin nak menang kalau Hamas dan Fatah sendiri asyik bergaduh. Sampai mati Palestin tak akan menang dengan Zionis selagi mereka tidak bersatu.

Sebab itu walaupun Israel dikelilingi berbagai negara Arab, dia tidak pernah takut berhadapan dengan sebarang ancaman, sebab israel tahu orang Arab tidak akan bersatu menentang mereka.

Kalaulah arab bersatu, tentu Israel tidak akan sewenang-wenangnya mengganyang negara Arab.

Malang betul bangsa Melayu. Mereka selalu meneropong kuman di seberang laut, tetapi lupa melihat gajah di depan mata.

Orang melayu cuma gemar melihat bangsa Arab nun jauh di sana saling bercakaran, tetapi dalam masa yang sama terlupa melihat pada diri sendiri yang sukar diajak bersatu.

Betul, apa kurangnya dengan bangsa kita melayu. Apakah melayu bersatu dalam menghadapi isu yang membabitkan bangsa, adat, budaya dan agama Islam?

Malah, kita sebenarnya patut malu dengan bangsa lain, dengan kaum Cina atau India, Kadazan atau Iban. Mereka semua bersatu demi mempertahankan kekuatan suku kaum dan ras masing-masing.

Tetapi kita disebabkan sentimen politik sanggup bergaduh, memaki hamun atau mencipta berbagai tohmahan bagi menjatuhkan saudara sebangsa dan seagama.

Disebabkan ideologi berbeza UMNO dan PAS orang Melayu berpecah. Perpecahan itu digawatkan lagi dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah lagi parti alternatif Melayu.

Mangsanya masyarakat Melayu sendiri, saudara mara, masjid dan surau.

Kerana politik, surau dan masjid menjadi medan perebutan kuasa. Bila golongan PAS menguasai masjid atau surau, penyokong UMNO tidak datang ke rumah Allh itu. Kalau masjid atau surau dikuasai UMNO, penyokong PAS akan membuat berbagai helah untuk menguasainya.

Maka berlakulah pulau memulau. Bila penyokong UMNO adakan kenduri kendara, penyokong PAS tidak hadir sekalipun mereka tinggal dalam sebuah taman perumahan atau dalam sebuah kampung dan ada pertalian persaudaraan.

Hinggakan urusan jenazah mereka pulau. Penyokong UMNO enggan menziarahi jenazah pengikut PAS. Begitu juga imam PAS enggan menguruskan jenazah orang UMNO.

Adik beradik berbalah dan tidak bertegur sapa disebabkan berbeza ideologi politik. Lebih parah lagi, sengketa politik ini membabitkan tokoh agama. Ada guru agama berani memutar belitkan maksud tafsiran al-Quran atau hadis semata-mata untuk memihak kepada perjuangan mereka.

Apa nak jadi dengan agama kita bila ALLah sendiri mereka tidak takut demi menegakkan sentimen politik!.

Tidak hairanlah sultan dan raja-raja sendiri sanggup dijadikan sasaran melepaskan kemarahan jika tidak memihak kepada mereka.

Mereka hanya menjunjung istana jika memberi keuntungan kepada perjuangan mereka.

Inilah yang diluahkan berulang kali oleh Sultan Selangor dalam titah baginda baru-baru ini. Baginda kecewa dan hairan dengan gelagat umat melayu kebelakangan ini yang semakin tidak keruan mengejar sesuatu yang tidak pasti.

Seolah-olah umat melayu hari ini sanggup menderhaka kepada sultan dan berbohong kepada Allah demi mempertahankan jaguh politik mereka.

Soalnya kenapa sentimen ini cuma berlaku dalam kelompok masyarakat Melayu sahaja?

Lihat bagaimana masyarakat India baru-baru ini bersatu dalam menghadapi isu kematian Kugan, lelaki yang menjadi buruan polis kerana disyaki menyamun kereta mewah.

Itu baru seorang yang disyaki buruan polis, belum lagi tokoh berjasa kepada bangsa mereka, mereka bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Dua timbalan menteri, seorang MIC dan seorang PPP sama-sama bersuara satu nada. Malah pemimpin PKR dan DAP dari kaum india juga bersatu memperjuangkan nasib Kugan. Tidak terkecuali Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sanggup menyediakan seberapa ramai peguam demi menegakkan kebenaran kematian Kugan.

Kenapa kita tidak mampu bersatu dalam menghadapi perjuangan menegakkan bangsa dan agama kita?

Begitu juga di rumah-rumah ibadat, keturunan India atau Cina tidak pernah bertekak berebut kuasa. Mereka tidak peduli penyokong MCA atau DAP, mereka sama-sama beribadat mengikut tuntutan agama masing-masing.

Tetapi kita, tidak kira dimana, waimma di masjid yang mulia pun masih sanggup bertekak menegakkan sentimen politik.

Ingatlah, didalam politik tidak ada yang kekal. Musuh tidak kekal dan sahabat pun tidak kekal.

Habis, kenapa kita bagaikan tidak siuman bertekak mempertahankan sesuatu yang belum pasti kekal?

BERSATULAH MELAYU!

PROGRAM SANTAI KELUARGA PEMUDA DAN PUTERI BAGAN PINANG

Program ini telah berjalan dengan jayanya

Ketua Puteri Bagan Pinang, Puan Haliza Mohd Kamel

Ketua saya, Puan Hajah Zaimah Zakaria, Ketua Wanita UMNO Bagan Pinang yang juga AJK Wanita Bahagian Telok Kemang

Kak Julie, Pengadil permainan sahiba

Setiausaha Puteri Bagan Pinang, Cik Siti Rahmah (tudung putih)

Malu pulak! Cik Umi, pengadil permainan congkak

Sebahagian ahli puteri yang hadir (baju pink) bersama kakak-kakak wanita



Naib ketua pemuda Bagan Pinang, Sdra Shaiful (berdiri) bersama sebahagian pemuda yang hadir

KEPADA ADIK-ADIKKU ~ BANGKITLAH PEMUDA HARAPAN BANGSA, PUTERI TIANG NEGARA ~ CABARAN BERLIKU MENANTI KALIAN DI HADAPAN