**BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....BARISAN NASIONAL - UNTUK KESEJAHTERAAN BAGAN PINANG.....


DAP.....PILIHAN BIJAK

LEE KUAN YEW.....BAGUS

Monday, February 23, 2009

PAS SELANGOR MINTA KHALID JAGA IMEJ KERAJAAN NEGERI

PAS Selangor menyatakan pendirian bahawa MB Selangor perlu mengambil langkah-langkah munasabah bagi menjaga imej kerajaan negeri. Parti itu juga meminta Khalid supaya tidak menganggu proses undang-undang sekiranya kes salah guna kuasa didakwa di mahkamah.

Walaupun parti itu mengutuk usaha menumbangkan kerajaan negeri dengan berselindung disebalik isu-isu berkaitan, PAS negeri itu bagaimanapun mengalu-alukan usaha penguatkuasaan undang-undang termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segala aduan berkaitan integriti dan amanah.

Parti itu juga meminta SPRM dan Peguam Negara bertindak dengan penuh kewibawaan dan darjah profesionalisme yang tinggi.

Dalam kenyataannya, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali meminta Abdul Khalid mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan pimpinan PAS negeri bagi menerangkan kedudukan sebenar.

Sumber: Agendadaily

Sunday, February 22, 2009

NIZAR MENJADI BAHAN KETAWA RAKYAT PERAK

Rakyat Perak ketawa melihat telatah Datuk Seri Nizar. Walaupun Tuanku Sultan telah menitahkan beliau meletakkan jawatan dan melantik menteri besar baru, tapi dia masih mendakwa jadi Menteri Besar.

Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat melaungkan tidak perlu turun dari kerusi MB kerana dia dipilih oleh rakyat. Kenapa mereka berselindung diatas nama rakyat? Adakah rakyat yang memilih beliau menjadi MB?

Mereka sebenarnya terkeliru atau saja-saja buat keliru atau sengaja mengelirukan mata rakyat dengan alasan tersebut.

Sebenarnya sistem demokrasi di negara kita, rakyat cuma memilih wakil rakyat untuk kerusi DUN dan kerusi parlimen. Rakyat tidak mengundi untuk memilih Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Menteri Besar ditentukan oleh Sultan atau Raja bagi setiap negeri manakala Perdana Menteri ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong berasaskan parti yang mendapat suara majoriti.

Oleh itu benarkah seperti yang dilaungkan Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat, Tuanku Sultan Perak telah mengambil hak rakyat? Sudah tentu tidak sama sekali.

Tuanku Sultan tidak memecat Nizar sebagai ADUN Pasir Panjang yang dipilih oleh rakyat, sebaliknya Baginda menitahkan Nizar meletakkan jawatan Menteri Besar yang menjadi hak mutlak perlantikkannya oleh Tuanku Sultan. Itupun sebab Pakatan Rakyat sudah hilang kuasa majoriti di DUN Perak.

Nizar sepatutnya tidak menderhaka atau membuat kecoh, sebaliknya berusaha mendapatkan semula sokongan seberapa ramai ADUN BN menyokongnya dan kemudian meminta perkenan Tuanku Sultan melantiknya semula sebagai Menteri Besar.

Cara yang Nizar lakukan ini sebenarnya memalukan dirinya sendiri dan akan menjadi bahan ketawa sehingga ke anak cucu.

Bukan mustahil selepas ini rakyat yang dulunya menyokong Pakatan Rakyat pada PRU-12 yang lepas akan beralih menyokong BN kerana bosan dengan gelagat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dan bukan mustahil juga selepas ini beberapa lagi YB pakatan Rakyat akan menyeberangi sempadan.

Sama-sama kita tunggu dan lihat.

"MOHON DERHAKA" ATAU "MOHON AMPUN"

Isu "mohon derhaka" ini terus dimainkan oleh Pakatan Rakyat. Mereka nampaknya cuba menegakkan benang basah apabila cuba mempertahankan kata-kata Datuk Seri Nizar "mohon derhaka" kononnya sebagai bahasa istana tatkala ingin menyatakan sesuatu yang tidak sependapat dengan Tuanku Sultan.

Saya cuba mencari perkataan tersebut, sama ada pernah di ucapkan sebelum ini. Jawapannya tidak pernah. Bahasa yang sepatutnya digunakan ialah "mohon ampun" kerana pantang orang melayu menderhaka kepada sultan.

Lebih-lebih lagi mengugut untuk menyaman sultan dengan alasan yang cukup kabur dan penuh pertikaian. Setakat mengutuk UMNO dan BN itu perkara biasa, tetapi apabila mereka berani bertindak menderhaka kepada sultan maka `cukuplah' kita melayan orang jenis ini.

Selayaknya mereka dikenakan ISA sebagai pengajaran di atas perbuatan yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Tuanku Sultan Perak telah bertindak secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang serta amalan demokrasi. Memang berat untuk menerima hakikat kejatuhan tetapi itulah yang telah ditakdirkan.

Mereka sepatutnya menerima takdir tersebut tanpa meracau bagai orang mamai kerana perbuatan tersebut memperlihatkan mereka hilang pedoman dan rendah akal budinya.

AKHIRNYA NIZAR ANGKAT BENDERA PUTIH

Berita dari Ipoh menyatakan hari ini bekas MB Nizar melangkah keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar. Itulah yang sepatutnya dilakukan sejak dulu.

Datuk Seri Nizar sepatutnya tidak terikut-ikut politik `degil' Anwar. Datuk Seri bernaung di bawah PAS dan bukannya PKR. Ingat, jangan kerana perangai Datuk Seri dan penyokong-penyokong Datuk Seri memberikan imej negatif kepada kepimpinan ulamak.

Jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, parti PAS yang terpalit ta**nya.

PKR SENDIRI INGIN JATUHKAN KHALID?

Cerita bertiup kencang ada `anai-anai' dalam PKR sendiri yang `baling batu sembunyi tangan' bagi menjatuhkan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Itulah kisah yang sedang diperkatakan disebalik kontroversi dakwaan salah guna kuasa isu Lexus dan lembu membabitkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta isu gambar separuh bogel Exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong.

Tohmahan terhadap BN serta UMNO yang menjadi `dalang' hanya skrip untuk menutup cerita lain yang lebih menarik dan sedang berlegar di kalangan pemimpin PKR di Selangor?.

Angin juga bertiup kencang mengatakan ADUN Bukit Antarabangsa akan menggantikan Khalid sebagai MB Selangor yang baru. Ada juga kemungkinan Dr. Hassan Ali akan menjadi MB baru apabila PAS menyertai BN.

Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

KHALID ANGKUH

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim angkuh apabila menyifatkan beliau bukanlah manusia yang boleh digertak di dalam isu penyalahgunaan kuasa menggunakan wang kerajaan untuk pembelian lembu korban dan penyelenggaraan kereta miliknya.

Pada saya Tan Sri tidak perlu untuk mengalihkan perhatian rakyat. Isu sekarang bukannya gertakan tetapi yang sebenarnya adalah masalah penyalahgunaan kuasa.

Rakyat telah muak berada di bawah pentadbiran Tan Sri yang berhadapan dengan berbagai-bagai skandal.

Sekarang kalau Tan Sri rasa tidak sesuai menggunakan perdana atau camry, Tan Sri boleh balik ke dunia korporat. Rakyat tidak akan mempertikaikan apa kereta yang Tan Sri gunakan.

Tetapi bila Tan Sri berada di dalam bidang politik, Tan Sri sudah menjadi milik rakyat dan menjadi hak rakyat untuk mempertikaikan apa yang Tan Sri lakukan.

RAFIDAH vs SHAHRIZAT

Semenjak semalam beberapa sms saya terima daripada rakan-rakan bloger dan aktivis wanita UMNO yang bertanyakan kenapa tiada ulasan daripada saya berkenaan pertandingan diantara Tan Seri Rafidah dan Datuk Seri Shahrizat bagi merebut jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Jawapan saya senang, saya adalah bloger yang membawa bendera parti. Tugas utama saya adalah untuk menyerang pakatan rakyat dan bukannya untuk mengulas pertandingan sesama sendiri.

Bagi saya kedua-dua pemimpin ini banyak jasanya kepada parti. Kedua-duanya saya sayang. Tetapi bagi memenuhi kehendak demokrosi kita perlu menghormati pertandingan ini.

Yang penting sesiapa sahaja yang menang perlu memulihkan perpaduan dalam pergerakan wanita kerana tanpanya Wanita ibarat kehausan dan kehabisan kekuatan.

Selebihnya kita serahkan kepada kematangan perwakilan untuk membuat pilihan. Selagi kempen dijalankan secara berhemah dan tertib ianya tidak akan memecahbelahkan pergerakan wanita.

Saturday, February 21, 2009

BOLEH DARURAT DI PERAK?

Tiga kesalahan besar V. Sivakumar boleh membawa kepada pengisytiharan darurat di Perak.

Pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kedua, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mendahului keputusan mahkamah.

Ketiga, beliau membelakangkan DUN Perak itu sendiri.

"Sepatutnya beliau tunggu keputusan mahkamah. Apabila beliau lakukan tiga perkara itu, beliau perlu sedar bahawa ia mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

"Saya berbincang dengan ramai peguam, kita lihat situasi di Perak boleh menjuruskan kepada pengisytiharan darurat seperti berlaku di Sarawak dan Kelantan dulu, situasi politiknya mirip dengan di Perak."

Demikian pendapat pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berhubung keputusan Sivakumar kelmarin menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri Sidang DUN.

"Walaupun ia bukan sesuatu yang diharapkan, namun itu boleh berlaku berdasarkan situasi politik di Perak sekarang," katanya.

Menurut Salleh, dari segi kesalahan Sivakumar itu, pertama beliau tidak menghormati Sultan Perak apabila menganggap tidak sah Zambry mengangkat sumpah ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar.

"Sedangkan pelantikan Zambry adalah keputusan Sultan Perak yang sah mengikut perlembagaan negeri itu dan ini diakui ramai pengamal undang-undang.

"Saya percaya, Dr. Zambry boleh memohon semakan kehakiman daripada mahkamah kerana tindakan Speaker itu agak jelas menimbulkan persoalan," jelasnya.

Menurut Salleh, kesalahan kedua, Sivakumar subjudis disebabkan keputusan penggantungan itu dibuat ketika terdapat permohonan di mahkamah meminta deklarasi berhubung status Nizar sebagai Menteri Besar.

"Kesalahan ketiga pula Sivakumar buat keputusan di luar Sidang DUN.

"Sedangkan majoriti pengamal undang-undang berpandangan bahawa keputusan Speaker mesti dibuat ketika sidang DUN berlangsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salleh menambah, apa yang terbaik dalam hal ini ialah menunggu terlebih dulu keputusan mahkamah berhubung permohonan Nizar sebelum bertindak sebegini.

Katanya, namun, Sivakumar telah mendahului mahkamah dan tindakan yang beliau perlu sedar bahawa ia boleh mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

Sumber: Utusan online

SIAPA BOLEH, SIAPA TAK BOLEH.....?

Oleh: Kamarulzaman Kamdias

1. Dalam ramai-ramai orang yang lompat, lompat siapa dikira sah dan lompat siapa dikira batal?

2. Dalam ramai-ramai orang buat maksiat, maksiat siapa yang dibolehkan?

3. Dalam banyak-banyak sedekah, jenis sedekah mana yang paling ‘syok’ dalam dunia?

4. Dalam banyak-banyak skandal seks, skandal seks siapa yang mendapat sokongan kuat akar umbi?

5. Dalam banyak-banyak kes liwat, kes liwat mana yang paling glamour?

6. Dalam banyak-banyak kes jenayah curi, penjenayah mana yang paling mendapat simpati?

7. Dalam banyak-banyak parti, parti mana yang sering mempertahankan penjenayah?

8. Dalam ramai-ramai perasuah, perasuah mana yang mendapat pembelaan rakyat?

9. Dalam ramai-ramai pemfitnah, pemfitnah mana yang paling diterima rakyat?

10. Dalam banyak-banyak putar alam, putar alam mana yang paling dipercayai?

11. Dalam banyak-banyak tertuduh, tertuduh mana yang dianggap hero rakyat?

12. Dalam banyak-banyak ulamak, ulamak mana yang sekejap dianggap wibawa, sekejap dianggap telah diperalatkan?

13. Dalam banyak-banyak fatwa Mufti Dato Harussani, fatwa mana yang paling tidak popular?

14. Dalam banyak-banyak pesalah, pesalah mana yang dianggap betul dan benar memanjang?

15. Dalam banyak-banyak kes berbogel, kes mana yang perlukan pembelaan? Apakah beza di antara berbogel dan dibogelkan?

16 Dalam banyak-banyak pemimpin, pemimpin mana yang sering melepaskan diri dengan cara menuduh setiap dosa dan kesilapan diri atau pemimpin partinya adalah angkara konspirasi lawan?

Pembayang jawapan boleh diambil dari kisah dongeng ulamak yang berfatwa, “tidak boleh kencing mengadap kiblat”. Bila diri sendiri didapati kencing mengadap kiblat, maka fatwa baru dikeluarkan, “dibolehkan mengadap kiblat, asalkan ‘anunya’ mengarah ke tempat lain”.

Jawapannya terpulang dan semua betul, asalkan ia ditafsir ikut nafsu dan kepentingan kelompok sendiri…

~http://www.kkamdias.blogspot.com/

Friday, February 20, 2009

KHALID AKAN DIHADAP KE MAHKAMAH

PANAS...PANAS...Salah guna kuasa MB Selangor. Berita terbaru dari Agenda daily menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setelah mendapati ada bukti kukuh untuk membawanya ke muka pengadilan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ketika memaklumkan perkara itu berkata, Khalid akan didakwa berhubung dengan salah guna kuasa yang membabitkan penyelenggaan kereta peribadinya dan pembelian lembu korban.

Menurut beliau, kertas siasatan mengenai perkara berkenaan telah pun siap untuk diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut dalam waktu yang terdekat.

Sementara itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan menyiasat dakwaan salah guna kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata dakwaan kes salah guna kuasa terhadap Sivakumar itu akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009. "Jika benar terdapat penyalahgunaan kuasa SPRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya ~ Bernama.

Thursday, February 19, 2009

"IF YOU ASK ME AGAIN, I SMASH YOUR HEAD"

"... if you ask me again, I smash your head". Itulah reaksi Tian Chua apabila ditanya oleh wartawan Agendadaily adakah beliau merupakan bekas teman lelaki Elizabeth.

Isu penyebaran gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong makin hangat apabila beberapa blog mula menyiarkan pelbagai berita mengenai kehidupan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

Ini termasuklah dakwaan yang menyebut Elizabeth memang suka bertukar-tukar teman lelaki. Tidak terlepas, ada blog mendakwa Ketua Penerangan PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua adalah bekas teman lelaki Elizabeth.

Sementara itu Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ketika mengulas mengenai laporan blog-blog berkenaan, berkata, jika benar Elizabeth mempunyai kehidupan sosial yang begitu, beliau mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perletakan jawatan ADUN Bukit Lanjan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Elizabeth hari ini berlepas ke luar negara bagi mencari ketenangan.

~Sumber: Agendadaily

ELIZABETH TETAP LETAK JAWATAN EXCO DAN ADUN

Elizabeth Wong hari ini menegaskan bahawa beliau tetap dengan keputusannya untuk meletakkan jawatan exco kerajaan negeri dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Lanjan.

"Saya telah memaklumkan kepada pemimpin parti saya bahawa saya tetap akan melepaskan semua jawatan saya - sebagai exco kerajaan negeri Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan dan sokongan pucuk pimpinan parti. Saya berharap mereka dapat memahami kesukaran yang sedang saya hadapi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan kenyataan terbaru Elizabeth hari ini, maka ia bermakna satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan di DUN Bukit Lanjan.

Sumber: Malaysiakini

HILMI KUDA `TROJAN'

Penyokong-penyokong PKR seboleh-bolehnya ingin mengaitkan skandal gambar bogel Elizabeth adalah angkara jahat BN. Sekarang mereka sedang memukul gendang, Hilmi adalah kuda `trojan' BN yang dihantar untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Berpijaklah dibumi yang nyata. Gunalah akal yang waras. Bukankah gambar tersebut dirakam sebelum Elizabeth menjadi wakil rakyat. Jangan cuba mengaburi mata rakyat. Rakyat sekarang bukan bodoh lagi. Mereka menilai setiap isu yang berlaku.

Tidak cukup dengan perkara tersebut, mereka juga mencurigai PAS Selangor yang diketuai oleh Dr. Hassan Ali kerana mengeluarkan kenyataan bahawa BN tidak berada dibelakang skandal ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang. Rakyat boleh menilai sendiri. Mereka sanggup memutarbelitkan sebarang isu, semata-mata untuk menutup kerendahan moral masing-masing.

Ingat pemimpin jatuh kerana tiga TA ~ takhTA, harTA dan waniTA.

DARI BUKIT ANTARABANGSA KE BUKIT LANJAN

Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz

Tanggal 6 Disember 2008, peristiwa tanah runtuh terjadi di Bukit Antarabangsa , Selangor, di pinggir ibukota Kuala Lumpur. Kejadian yang menyayat hati itu meragut lima nyawa dan memberi kesan fizikal dan psikologi kepada ribuan penduduk terlibat dan jiran-jiran berhampiran yang turut terperangkap kerana jalan penghubung telah terputus.

Hingga hari ini, masih terasa bahangnya termasuk trauma di kalangan para mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda masing-masing. Bukit itu mencatat sejarah hitam bagi akhir tahun 2008.

Tanggal 6 Februari 2009 pula, berlaku satu lagi runtuhan - kali ini bukan di ibukota atau Selangor, tetapi di Perak. Kejadian berlaku di sebuah bukit juga iaitu Bukit Chandan, Kuala Kangsar apabila kerajaan campuran barisan pembangkang runtuh di istana dan Barisan Nasional (BN) kembali mengambilalih tampuk pemerintahan negeri dengan upacara mengangkat sumpah Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang kesebelas.

Peristiwa Bukit Chandan bermula dengan kekecohan apabila pada 1 Februari, Speaker negeri itu V. Sivakumar memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd. Radzi dari Behrang, kedua-duanya dari PKR meletakkan jawatan.

Penasihat PKR dan ketua pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan dekat Bukit Mertajam pada hari berkenaan memberitahu beliau tidak tahu menahu mengenai perkembangan itu.

Namun, tiga jam kemudiannya, kedua-duanya Jamaluddin dan Osman menafikan perkara itu sebaliknya mereka mengumumkan meninggalkan PKR. Kerajaan PKR-PAS-DAP di Perak semakin goyah apabila ADUN Bota yang meninggalkan UMNO beberapa hari sebelumnya untuk menyertai PKR kembali ke pangkal jalan.

Kerajaan rapuh itu terus tumbang pada 5 Febrauari apabila timbalan speaker iaitu ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas bersama-sama rakan yang melompat dan berikrar menyokong BN.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor , Karpal Singh yang tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri Perak itu naik angin dengan titah Sultan Perak yang mahu Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan bersama-sama barisan EXCOnya.

Beliau mencabar keputusan Sultan perak dan mahu menyaman Baginda, namun, Nizar dan Anwar cepat-cepat menafikan mereka mahu berbuat demikian seperti yang didakwa oleh Karpal.

Ekoran tindakan Karpal itu, kemarahan rakyat jelata, khususnya orang Melayu bukan lagi setinggi bukit, tetapi menggunung tingginya. Lantaran puluhan tunjuk perasaan dan laporan polis dibuat di seluruh negara.

Dalam kesibukan peralihan kuasa di Perak, pada 9 Februari, meletup pula berita mengenai Ahli Parlimen Bukit Gantang , Roslan Saharum, 50, yang meninggal dunia. Pada hari yang sama, di Kedah, ADUN Bukit Selambau meletakkan jawatan. Pilihanraya kecil di kedua-dua bukit ini akan diadakan pada 7 April nanti.

Tatkala semua pihak memperkatakan pelbagai perkara mengenai pilihanraya Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tercetus pula isu baru di Bukit Lanjan , Selangor.

Gambar-gambar seksi dan seksa ADUN kawasan berkenaan, Elizabeth Wong telah beredar dan dilaporkan oleh pihak media pada 16 Februari. Hari ini wakil rakyat yang juga EXCO negeri berusia 37 tahun dan masih bujang itu menawarkan perletakan jawatannya sebagai wakil rakyat demi nama baik PKR.

Kisah Bukit Lanjan ini kini menjadi lucuan kerana bukit itu diberikan dua nama baru oleh kalangan aktivis politik iaitu Bukit Telanjang dan Bukit Lenjan.

Pihak pembangkang terus menuduh BN terlibat dengan kerja-kerja jahat menyebarkan gambar-gambar Elizabeth, tetapi mereka, termasuk Anwar terlupa, sebagai bekas pembantu khas isterinya Datin Seri Wan Azizah, tidak mungkin anak dara berkenaan mempelawa dan membawa pulang orang BN, apatah lagi UMNO ke rumahnya di Bukit Gasing .

Perkembangan-perkembangan mengenai pelbagai bukit ini, khususnya peristiwa di Bukit Gasing, pastinya menyebabkan fikiran Anwar dan Wan Azizah berpusing ligat macam gasing juga.

Kedua-dua mereka yang tidak lama dulu berpindah dari kediaman lama di Bukit Damansara ke rumah baru di Bukit Segambut untuk mencari ketenangan, tentulah tidak dapat tidur lena memikirkan perjalanan hidup dan kelangsungan barisan pembangkang yang kini melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang berbukit-bukit.

Para pegawai dari Bukit Aman pula telah memulakan siasatan mereka mengenai adegan panas di Bukit Gasing. Begitu juga mengenai perkembangan di Bukit Chandan. Bagi Anwar, selepas leburnya bukit kuasa mereka di Perak, kekhuatirannya tentulah tertumpu ke Bukit Megawati di Selangor pula. Rakannya, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bermastautin di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di bukit itu juga kini ibarat sedang melalui belantara yang berbukit-bukit.

Nak dipertahankan sangat EXCOnya dari Bukit Lanjan itu, takut nanti beliau sendiri di telanjangkan di Bukit Megawati itu dan terpaksa bernaung di kampung halamannya yang berhampiran Bukit Melawati di Kuala Selangor.

Jikalah katakan Khalid terpaksa turun dari Bukit Megawati, tentulah ada yang meneropong dari satu bukit lain dengan harapan mengunung. Bukit manakah agaknya tu ?

CERITA DISEBALIK GAMBAR BOGEL ELIZABETH WONG

Jelas sekarang, skandal gambar bogel Elizabeth adalah bukan angkara jahat BN. Teman lelaki Elizabeth yang dikatakan merakam gambar tersebut juga sudah diketahui. Namanya Hilmi Malek seorang ahli PKR di Bahagian Pandan dan bekas PA Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

Walaubagaimanapun masih banyak persoalan yang belum terjawab. Antaranya ialah adakah Hilmi yang menyebarkan gambar tersebut?. Atau adakah ianya kerana masalah perebutan jawatan di dalam PKR itu sendiri?. Dan tidak kurang juga menarik untuk diketahui ialah kenapa Hilmi memutuskan hubungan dengan Elizabeth?.

Saya tidak mahu membuat spekulasi walaupun telah banyak diceritakan di dalam blog-blog yang lain seperti disini. Kita tunggu polis menyelesaikan siasatan dan mungkin banyak lagi perkara yang mengejutkan akan terbongkar.

Yang pasti antara penyebabnya ialah kerana `cinta beberapa segi' Elizabeth dan kemungkinan melibatkan kepimpinan tertinggi PKR.

Sama-sama kita tunggu perkembangan seterusnya.

Wednesday, February 18, 2009

MB PERAK DAN 6 EXCO DIGANTUNG : SATU LAGI EPISOD KOMEDI PAKATAN RAKYAT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, berkata tindakan speaker Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan anggota exconya dari menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan berkuatkuasa serta merta sebagai satu episod `komedi' yang tidak masuk akal dan berkelakuan mempersenda dewan berkenaan.

Pergolakan terbaru dalam kemelut politik Perak ini tercetus selepas speaker memutuskan bahawa Zambry dan enam exconya telah menghina DUN.

"Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu."

"Ini benar-benar kelakar dan satu persendaan dalam seluruh episod," kata Nazri pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini.

"Saya rasa untuk menghentikan ini semua, anggota-anggota DUN Barisan Nasional hendaklah ke mahkamah untuk menyelesaikan kebuntuan dan menjelaskan situasi," kata Nazri.-- BERNAMA

KEDUDUKAN ELIZABETH MINGGU DEPAN

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau dan ahli Exco lain akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 25 Februari ini berhubung kedudukan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong .

Abdul Khalid berkata, pertemuan dengan Sultan Sharafuddin itu bagi memaklumkan situasi sebenar selain mendapatkan panduan dan nasihat baginda berhubung isu itu, sebelum kerajaan negeri membuat keputusan muktamad. Katanya, walaupun beliau sudah menerima surat daripada Elizabeth yang menawarkan diri untuk melepaskan semua jawatan Exco dan Adun Bukit Lanjan, keputusan sama ada menerima atau sebaliknya hanya diputuskan selepas menghadap Sultan Selangor.

Beliau berkata, sehingga tarikh itu Elizabeth dibenarkan bercuti selama sebulan iaitu tempoh yang dibenarkan untuk seorang Exco, berkuat kuasa Isnin lalu dan tugasnya dipangku semua Exco. "Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani, memaklumkan Tuanku berada di luar negara dan bersedia berjumpa dengan saya dan Exco minggu depan.

"Kerajaan negeri berharap pertemuan ini menghasilkan keputusan terbaik untuk Selangor. Kerajaan negeri menghormati kebebasan bersuara semua pihak tetapi ia mesti berlandaskan fakta dan beretika," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini, petang tadi.

~Berita Harian

Kita tunggu apa keputusan Khalid Ibrahim apabila terkena batang hidung sendiri. Adakah ini satu lagi isu moral yang BERIMAN???

TEMAN LELAKI ELIZABETH SAH MELAYU ISLAM

TEKA TEKI TERJAWAB...Khabar angin yang mengatakan bekas teman lelaki Elizabeth Wong adalah lelaki Melayu Islam ternyata benar. Persoalan itu terjawab apabila pejabat khidmat wakil rakyat ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mengesahkan lelaki itu bernama Hilmi.

Bagaimanapun, lelaki tersebut yang merupakan pembantu khas kepada ahli parlimen Hee Loy Sian sudah berhenti sejak Januari lalu. Menurut Loy Sian lelaki terbabit pernah bertugas dengannya selama sembilan bulan.

“Sekarang saya tak tahu beliau di mana.,” katanya sambil menyifatkan kes itu adalah soal peribadi diantara lelaki berkenaan dengan Elizabeth. Pengesahan itu sekaligus menimbulkan persoalan adakah mereka bersekedudukan ketika gambar Elizabeth dirakam di rumahnya di Bukit Gasing.

Sementara itu Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Lo' Lo' Ghazali berkata sekiranya benar bekas teman lelaki Elizabeth Wong itu seorang pemuda Melayu beragama Islam dan terbukti bersekedudukan, lelaki itu bukan sahaja mesti dihadapkan di makhkamah sivil tetapi juga di mahkamah syariah.

"Kita tidak boleh menerima hubungan tanpa ikatan sah," katanya. Beliau diminta mengulas persoalan kemungkinan teman lelaki ADUN Bukit Lanjan yang merakam gambar separuh bogel tersebut tinggal bersama Exco kerajaan negeri Selangor itu.

~Sumber : Agendadaily

TEMAN LELAKI ELIZABETH DIPANGGIL BERI KETERANGAN, KHALID SAMAN KHIR TOYO

SHAH ALAM 18 Feb. — Teman lelaki anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel wanita itu hari ini.

“Teman lelaki wakil rakyat itu akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar kepada pemberita selepas merasmikan program Bengkel Khas Majikan Kerajaan (PDRM) 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata polis menerima dua keping gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu dalam bentuk kepingan dan cakera padat daripada seorang wartawan Malay Mail. “Dua wartawan Malay Mail dan dua wartawan The Sun telahpun dipanggil untuk memberi keterangan berhubung (laporan berita) pengedaran gambar berkenaan,” katanya.

Eliza, 37, yang juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri Selangor, semalam menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet. — Bernama

Sementara itu di Shah Alam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan dua saman terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Saman tersebut difailkan oleh peguam plaintif, S.N. Nair pada pukul 12.15 tengah hari.

Kedua-dua saman tersebut dibuat berhubung perkataan yang didakwa memfitnah Abdul Khalid seperti yang disiarkan dalam laporan akhbar mengenai pembelian 46 ekor lembu korban dan 15 kereta Toyota Camry.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif tidak menyatakan berapakah jumlah pampasan yang diminta dan sebaliknya memohon mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Selain itu, plaintif memohon injunksi untuk menegah Mohd. Khir yang juga merupakan defendan daripada melafaz, bercakap, menulis atau menerbitkan artikel yang memfitnahnya. - Utusan

ADA CERITA LEBIH BESAR DI SEBALIK GAMBAR BOGEL ELIZABETH WONG?

Isu ADUN PKR Bukit Lanjan Elizabeth Wong tidak terhenti setakat penyebaran gambar bogel yang didakwanya dirakam secara curi. Tiada sesiapapun yang waras fikirannya merestui perbuatan rakam curi yang diistilahkan Eliza ‘menceroboh privasinya’.

Adalah difahamkan kepimpinan tertinggi PKR terutama Anwar Ibrahim bingung memikirkan bagaimana untuk menangani kes Eliza ini tanpa melondehkan pekong yang bakal ‘meletup’.

Buat sementara ini mereka boleh menghalakan tuduhan ianya adalah angkara jahat BN. Namun tidak berapa lama lagi orangramai akan mula sedar apakah isu sebenar disebalik gambar bogel tersebut.

Sudah tentu ianya bukan sekadar gambar tetapi lebih melibatkan soal moral wakil rakyat PKR tersebut kerana pemuda yang dikatakan bekas teman lelakinya yang merakamkan gambar tersebut ialah seorang pemuda Melayu Islam.

Lebih membingungkan mereka ialah pemuda tersebut dikatakan aktivis PKR dan berkhidmat sebagai pembantu kepada seorang ahli parlimen PKR di Selangor. Benarkah namanya Helmi dan merupakan Ketua AMK Petaling Jaya Utara?.

Kalau betul bagai dikata sudah tentu kes ini boleh diklasifikasikan sebagai bersekedudukan diantara seorang wanita bukan Islam dengan lelaki Islam.

Jadi bagaimana mereka nak rasionalkan hal ini di kaca mata orangramai dan para penyokong mereka khususnya yang beragama Islam. Dan bagaimana pula PAS ingin mempertahankan Eliza kelak.

Itulah sebabnya sidang akhbar Eliza tidak ada sesi soal jawab. Beliau takut untuk bersoal jawab dengan para wartawan bagi mengelak identiti teman lelakinya diketahui ramai.

~Sumber: Agendadaily

Tuesday, February 17, 2009

ANWAR TOLAK PERLETAKAN JAWATAN ELIZABETH

TERKINI!!! Berita Harian online menyatakan Penasihat Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak perletakan jawatan Elizabeth Wong sebagai Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

Beliau sebaliknya meminta Elizabeth yang dikaitkan dengan penyebaran gambar bogelnya dalam internet supaya berehat dan memikirkan semula hasratnya itu.

SAH!!! Bapak Borek Anak Rintik.

SAH...PILIHANRAYA KECIL DUN BUKIT teLANJANg

SAH Ahli Dewan Undangan Negeri PKR kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong telah meletakkan jawatan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Ini bermakna satu lagi pilihan raya kecil akan menyusul. Beliau membuat pengumuman itu didalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya jam 11 pagi ini

Diketika yang sama berbagai spekulasi berlegar tentang siapakah teman lelaki misteri yang didakwa mengambil gambar Wong di rumahnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Sumber-sumber PKR memberitahu ada kemungkinan Pemuda tersebut adalah seorang pemuda Melayu. Jika betul cerita ini, ianya akan menjadi kes serius kerana boleh dituduh bersekedudukan.

Sementara itu berita yang saya petik dari blog Anti PKR menyatakan kes Elizabeth Wong ini hanyalah satu permulaan. Akan ada banyak lagi pembongkaran sensasi berkenaan harta, kereta, projek, wanita dan kisah silam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan didedahkan satu persatu.

Memang benar mereka tidak perlu menunggu sehingga 50 tahun untuk menunjukkan `belang' mereka yang sebenar.

Monday, February 16, 2009

PENGAKUAN GAMBAR BOGEL : PEMUDA DESAK ADUN BUKIT teLANJANg LETAK JAWATAN


Oleh S.A Najmuddin

Shah Alam -- Pemuda UMNO negeri ini mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong meletakkan jawatan Exco kerajaan negeri dan Adun serta merta ekoran penyebaran gambar bogel beliau yang kini tersebar luas.

Ketua Pemudanya, YB Abdul Shukor Idrus berkata pengakuan Exco berkenaan bahawa gambar tersebut sememangnya gambar beliau amat memalukan institusi kerajaan negeri khususnya rakyat di negeri berkenaan.

Justeru beliau secara terbuka menyarankan Adun berkenaan bertanggungjawab dan tidak berdolak dalih dengan melepaskan kedua-dua jawatan terbabit kerana ianya melibatkan isu moral.

"Pengakuan daripada tuan punya badan sudah membuktikan segala-galanya dan tidak perlu lagi berdolak dalih dalam soal ini. Kita bukannya mahu mencari isu murahan untuk memburukkan kerajaan negeri, tetapi ini adalah soal moral.

"Dan kita juga bukan mahu mengambil kesempatan untuk mencipta krisis politik baru di negeri ini, tetapi atas dasar tangungajawab untuk memastikan hanya Adun yang benar-benar bertanggungajawab dan bermoral sahaja dipilih di dalam struktur kerajaan negeri", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas pengakuan terbuka Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong bahawa gambar bogelnya yang tersebar di internet adalah gambar beliau.

Ekoran itu, beliau telah membuat aduan polis di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 11 malam. Difahamkan foto-foto yang dirakam tanpa kebenarannya itu, kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya sewaktu beliau sedang tidur.

Shukor yang juga Adun Kuang seterusnya berkata isu ini adalah isu kedua selepas seorang lagi Exco kerajaan negeri, YB Ronnie Liew yang kini berdepan dengan dakwaan menghalang penjawat awam ketika melakukan serbuan rumah urut negeri itu tahun lalu.

"Nampaknya soal moral telah menghantui kepimpinan Pakatan Rakyat. Jika situasi seumpama ini berlaku terhadap kerajaan pimpinan UMNO, berdegar-degar kenyataan dikeluarkan termasuk dalil-dalil daripada kepimpinan Pas.

"Kita nak tengok dan lihat apa pula dalil Pas dalam soal moral seumpama ini. Adakah berdiam diri atau sebaliknya", kata beliau.

~www.pemudaumno.org.my

GAMBAR BOGEL PULA!!!

Nampaknya Khalid Ibrahim tidak akan sunyi dengan berbagai skandal di bawah negeri naungannya. Sekiranya minggu lepas digemparkan dengan skandal seks ADUN Pelabuhan Klang, hari ini pula digemparkan dengan isu gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong.

Inilah akibat sekiranya anak-anak buah di pilih secara `tangkap muat' dan sekarang beliau `pening' untuk menguruskan kerendahan akhlak anak-anak buahnya.

Berita yang dipetik daripada Agendadaily menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong mengaku gambar bogel yang tersebar kini adalah gambarnya.

Beliau yang pernah menjadi pembantu khas kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan membuat laporan polis hari ini.

Kini timbul desakan agar beliau meletak jawatan kerana moralnya dipertikaikan. Sementara itu, Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu gambar bogel Elizabeth Wong.

Katanya, PKR akan mendapatkan keterangan Exco itu serta laporan polis sebelum memutuskan tindakan lanjut. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berkata isu itu akan dibincang dalam mesyuarat Exco Negeri rabu ini.

Sunday, February 15, 2009

RAKYAT BIADAB : SULTAN SELANGOR MURKA

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan perasaan amat kecewa dengan apa yang baginda sifatkan sebagai gelagat biadab terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan baru Perak baru-baru ini.

"Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan baru kerajaan negeri Perak baru-baru ini yang sehingga membawa kepada gelagat biadab terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan Beta" titah baginda dalam satu kenyataan akhbar khas yang dikeluarkan Istana Alam Shah pada hari Jumaat.

Dalam kenyataan tiga muka surat itu seperti dilaporkan Bernama, Sultan Selangor menasihatkan pihak yang mencabar hak, peranan serta kedudukan Raja-Raja yang dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan supaya menggunakan pertimbangan akal yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita, janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji serta biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa rasa kecewa dan dukacita dirasai baginda lebih-lebih lagi kerana Sultan Azlan adalah ayahanda saudara baginda dan keluarga diraja kedua-dua negeri mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

Menurut baginda, Sultan Azlan Shah dikenali sebagai seorang tokoh yang tinggi ilmu serta berpengalaman dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman sesuai dengan kedudukan Sultan Perak itu sebagai bekas Ketua Hakim Negara.

"Sultan Azlan Shah serta keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat sehingga kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan kepada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit," titah Sultan Sharafuddin.

Menurut baginda, apa yang berlaku di Perak sejak seminggu lalu, amat membimbangkan sesiapa pun "yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama".

"Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, barulah kita kenal siapa kaca, siapa permata. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar," titah baginda.

Sultan Azlan Shah melantik Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru 6 Februari lalu apabila kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Pas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin dan penyokong pakatan tersebut.

Pada hari Zambry mengangkat sumpah memegang jawatan pada Jumaat lalu, penyokong parti berkenaan mengadakan demonstrasi jalanan berhampiran Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, sehingga menghalang kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dilaporkan "mohon derhaka" kepada Sultan Perak apabila permohonannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak diperkenan Sultan Azlan Shah manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh, menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana mahu menyaman Sultan Azlan Shah.

Sultan Selangor bertitah, kegawatan ekonomi yang semakin meruncing di peringkat global dan serantau menuntut rakyat memantapkan perpaduan walaupun berbeza pendirian. "Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana," titah baginda