Oleh Adnil Mohd
Kuala Terengganu -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin meminta pengundi di sini tidak membuat pilihan yang silap yang akhirnya akan merugikan mereka sendiri.
Tegasnya pengundi seharusnya mempertahankan keistimewaan kawasan ini yang sentiasa mendapat perhatian baik dari kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat.
Beliau menambah tidak ada kawasan lain di negara ini yang seistimewa Kuala Terengganu kerana dua orang pemimpinnya berada di dalam kabinet persekutuan.
"Arwah Datuk Razali dulu adalah Timbalan Menteri Pelajaran, manakala Datuk Wan Farid adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri. Kini kawasan ini kembali kosong bila Datuk Razali sudah tiada dan Datuk Wan Farid letak jawatan senator untuk bertanding di sini.
"Justeru pengundi kena buat pilihan yang betul kerana jika Datuk Wan Farid menang, beliau telah dijanjikan jawatan Timbalan Menteri. Ini bermakna kawasan ini akan terus mendapat perhatian kerajaan negeri dan pusat.
"Sebaliknya jika undi Pas yang untung Wahid Endut (calon Pas) kerana dia akan dapat elaun sebagai wakil rakyat Wakaf Mempelam dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu", katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan pengundi-pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi pengundi khususnya golongan muda juga tidak seharusnya lupa pada sejarah pemerintahan Pas pada tahun 1999.
Banyak kelemahan dan kezaliman berlaku katanya berbanding pembangunan dan pembelaan rakyat terutama untuk golongan muda.
"Ini tidak sepatutnya kita lupa. Pilihanraya ini biarpun dinamakan pilihanraya kecil tetapi ia sebenarnya memberi makna yang besar kepada masa depan rakyat di kawasan ini.
"Jangan buat pilihan yang merugikan kita", ujarnya.
www.pemudaumno.org.my
No comments:
Post a Comment